Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika dakwa pesawat perangnya lumpuhkan kapal yang cuba lepasi kepungan pelabuhan Iran
Dua Super Hornet F/A-18 dilancarkan dari dek kapal pembawa pesaway tentera laut Amerika, USS Abraham Lincoln, 3 Mac 2026. (Gambar: REUTERS/US Navy)
Ini merupakan kali kedua tentera Amerika Syarikat menembak kapal yang didakwa cuba melanggar kepungan laut yang bermula sejak 13 April lalu.
Pasukan Amerika Syarikat memberi amaran kepada kapal M/T Hasna yang membawa bendera Iran bahawa ia melanggar arahan kepungan. Namun, anak kapal tersebut "gagal mematuhi arahan". Oleh itu, sebuah pesawat perang F/A-18 Super Hornet milik Amerika Syarikat "melumpuhkan kemudi kapal tangki itu dengan melepaskan beberapa tembakan meriam 20mm," kata Markas Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) dalam catatan di laman X.
"Kapal Hasna kini tidak lagi menuju ke Iran," menurut CENTCOM sambil menambah bahawa kepungan ke atas mana-mana kapal yang cuba masuk atau keluar dari pelabuhan Iran tetap berkuat kuasa sepenuhnya.
Sebelum ini, pada 19 April, sebuah lagi kapal Iran iaitu M/V Touska turut cuba melanggar sekatan tersebut dan mengabaikan banyak amaran daripada kapal pemusnah Amerika Syarikat. Kapal perang Amerika itu akhirnya mengarahkan anak kapal M/V Touska berpindah dari bilik enjin sebelum menembaknya dengan meriam lima inci sehingga kapal tersebut lumpuh.
Tentera Tehran bertindak menutup laluan penting Selat Hormuz - yang merupakan laluan utama kiriman minyak dan gas dunia - selepas bermulanya serangan udara Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran pada 28 Februari.
Amerika Syarikat mengumumkan kepungan ke atas pelabuhan-pelabuhan Iran selepas rundingan damai di Pakistan gagal mencapai kata sepakat bulan lalu.
Menurut CENTCOM, setakat Isnin lalu, lebih daripada 50 buah kapal komersial diarahkan untuk berpatah balik atau kembali ke pelabuhan bagi mematuhi arahan kepungan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.