Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika akan sambung perang jika Iran tidak bersetuju dengan perjanjian damai

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: Amerika akan sambung perang jika Iran tidak bersetuju dengan perjanjian damai

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth semasa taklimat mengenai perang Iran di Pentagon di Washington, DC pada 16 April 2026. (Gambar: Reuters/Nathan Howard)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 16 Apr 2026 09:38PM Dikemas Kini : 16 Apr 2026 09:39PM
WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah bersedia untuk menyambung semula operasi ketenteraan dengan segera jika Iran tidak bersetuju dengan perjanjian damai, kata pegawai tertinggi tentera Amerika Syarikat pada Khamis (16 Apr).

Sebagai sebahagian daripada kempen untuk menambahkan lagi tekanan terhadap Tehran agar menandatangani perjanjian tersebut, tentera Amerika Syarikat sedang melancarkan kepungan ke atas semua kapal yang ingin memasuki atau meninggalkan Iran.

"Anda, Iran, boleh memilih masa depan yang makmur, jambatan emas, dan kami berharap anda akan berbuat demikian untuk rakyat Iran," kata Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth semasa menyampaikan taklimat di Pentagon.

"Tetapi jika Iran memilih sebaliknya, maka mereka akan dikenakan sekatan dan bom yang digugurkan ke atas infrastruktur, kuasa dan tenaga mereka."

Pentadbiran Presiden Donald Trump menyatakan optimisme pada Rabu (15 Apr) tentang usaha mencapai perjanjian untuk menamatkan perang dengan Iran, sambil turut memberi amaran tentang peningkatan tekanan ekonomi terhadap Tehran jika ia terus berdegil.

Encik Hegseth, semasa merujuk kepada kepimpinan Iran, berkata: "Ini bukan pertempuran yang adil, dan kami tahu aset ketenteraan apa yang sudah anda pindahkan dan ke mana anda memindahkannya."

Jeneral Dan Caine, Pengerusi Ketua Turus Bersama, berkata tentera Amerika Syarikat "bersedia untuk menyambung semula operasi utama ketenteraan dalam sekelip mata sahaja".

Kapal Tentera Laut Amerika Syarikat akan memburu mana-mana kapal berdaftar Iran atau mana-mana kapal yang cuba memberikan sokongan kepada Iran, kata Encik Hegseth semasa taklimat itu.

Kapal-kapal yang cuba mengelakkan kepungan akan dipintas dan diberi amaran "Jika anda tidak mematuhi kepungan ini, kami akan menggunakan kekerasan".
Penguatkuasaan akan dilakukan di laut wilayah Iran dan di perairan antarabangsa, katanya lagi.

Sebanyak 13 kapal telah memilih untuk berpatah balik daripada mengelakkan kepungan, kata Encik Caine, sambil menambah bahawa tiada kapal yang telah dinaiki tentera Amerika Syarikat setakat ini.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita