Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: 75% keluarga di beberapa kawasan Yaman berdepan kelaparan akibat pertempuran baharu

Tiga daripada empat keluarga di beberapa kawasan Yaman kini berdepan kelaparan akibat kesan "amat buruk" daripada peningkatan pertempuran, yang menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal dan menjejas bekalan bagi jutaan orang, menurut Program Makanan Sedunia (WFP) pada Jumaat (2 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: 75% keluarga di beberapa kawasan Yaman berdepan kelaparan akibat pertempuran baharu

Wanita dan kanak-kanak yang melarikan diri daripada pertempuran antara kumpulan Houthi dengan pasukan pemerintah di kawasan pesisir Laut Merah berjalan di sebuah kem bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal berhampiran Aden, Yaman, pada 19 September 2026. (Gambar: REUTERS/Stringer)

Diterbitkan : 03 Oct 2026 09:29AM
US, Israel and Iran war: 75% of families in some areas of Yemen face hunger due to fresh fighting
  • WFP reported that three in four families in some areas of Yemen are now going hungry after the latest fighting disrupted supplies and forced tens of thousands of people to flee.
  • Tensions between Saudi Arabia and the Houthis have risen since the 2022 UN ceasefire, with the Houthis controlling the Red Sea coast and the Government based in Aden.
  • WFP is stepping up aid but needs US$109 million within weeks, or stocks and funding for 152,000 newly displaced people as well as 1.4 million existing beneficiaries will run out.
  • Disruptions in Bab el-Mandeb, Hormuz and the Black Sea could raise global food and fuel prices, while UN Women warned that 11.7 million women and girls are at risk of food shortages.
Dijana oleh AI
GENEVA: Tiga daripada empat keluarga di beberapa kawasan Yaman kini berdepan kelaparan akibat kesan "amat buruk" daripada peningkatan pertempuran, yang menyebabkan puluhan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal dan menjejas bekalan bagi jutaan orang, menurut Program Makanan Sedunia (WFP) pada Jumaat (2 Okt).

Yaman kini mengalami peningkatan pertempuran paling serius antara Arab Saudi dengan kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran sejak gencatan senjata yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersat (PBB) sebahagian besarnya menghentikan serangan rentas sempadan pada 2022. Konflik yang tercetus semula itu boleh mengubah kawasan yang dikuasai pihak-pihak yang bertelagah di Yaman, sekali gus memberi kesan terhadap laluan perkapalan di Laut Merah.

Dalam tempoh hanya beberapa minggu, pertempuran tersebut menyebabkan kadar isi rumah yang tidak mempunyai makanan yang mencukupi meningkat kepada 74 peratus di kawasan yang dikuasai pemerintah dan boleh diakses WFP, menurut Penolong Pengarah Eksekutif bagi Operasi Program badan PBB yang menangani isu kelaparan tersebut. Jumlah penduduk di kawasan yang dikuasai pemerintah dianggarkan sekitar 10 juta orang.

"Kesan peningkatan ketidakstabilan terbaru ini terhadap keadaan yang melibatkan jaminan bekalan makanan berpotensi menjadi amat buruk," kata Encik Hollingworth kepada para wartawan di Geneva menerusi satu pautan video dari Rome.

Kumpulan Houthi, yang sudah menguasai sebahagian besar utara Yaman termasuk ibu kota Sanaa, merampas seluruh pesisir Laut Merah negara itu bulan lalu daripada pasukan pemerintah yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan disokong Arab Saudi. Pemerintah tersebut berpangkalan di bandar pelabuhan Aden di selatan Yaman.

Keluarga-keluarga yang kehilangan tempat tinggal tiba di kawasan luar Aden dan sekitar bandar pergunungan Taiz tanpa bekalan air atau makanan kerana ramai terpaksa meninggalkan segala-galanya, menurut WFP.

Harga barangan makanan asas seperti tepung gandum dan minyak sayuran semakin meningkat di negara tersebut, yang mengimport sekitar 90 peratus bekalan makanannya.

"Kita sedang berdepan krisis kelaparan yang akan terus memburuk selagi keadaan ini berlarutan," kata Encik Hollingworth, sambil menambah bahawa kawasan barisan hadapan seperti Taiz semakin sukar diakses akibat pertempuran.

Menurut WFP, ia sedang meningkatkan usaha bantuan. Namun, jika ia tidak menerima dana sekitar AS$109 juta (S$139.39 juta) dalam tempoh beberapa minggu, agensi tersebut akan kehabisan stok makanan dan dana untuk membantu 152,000 penduduk yang baru kehilangan tempat tinggal di dalam negara, di samping 1.4 juta orang yang sudah menerima bantuannya.

Encik Hollingworth turut menarik perhatian kepada kemungkinan kesan lebih meluas akibat gangguan di dua laluan maritim utama di Timur Tengah: Selat Bab el-Mandeb berhampiran Yaman di pintu masuk Laut Merah dan Selat Hormuz di seberang Semenanjung Arab.

Gangguan tersebut, selain gangguan di Laut Hitam akibat perang Ukraine-Rusia, berisiko meningkatkan harga makanan dan bahan api serta memburukkan lagi masalah jaminan bekalan makanan di seluruh dunia.

Analisis baharu yang diterbitkan UN Women pada Jumaat mendapati 11.7 juta lagi wanita dan kanak-kanak perempuan di 28 negara, termasuk Yaman, Sudan dan Lubnan, mungkin berdepan masalah kekurangan makanan menjelang akhir tahun akibat konflik yang semakin meruncing di Timur Tengah dan gangguan di Selat Hormuz.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita