Perang Amerika, Israel dan Iran: 61% rakyat Amerika anggap perang dengan Iran satu kesilapan
Majoriti rakyat Amerika Syarikat berpendapat penggunaan kekuatan ketenteraan negara itu terhadap Iran adalah satu kesilapan, menurut satu tinjauan baharu yang diterbitkan pada Jumaat (1 Mei), lapor Xinhua.
Konflik di Iran adalah “tidak popular dalam kalangan rakyat Amerika seperti Perang Iraq semasa tahun keganasan memuncak pada 2006 dan Perang Vietnam pada awal 1970-an". (Gambar fail: Reuters)
Sebanyak 61 peratus rakyat Amerika menyatakan penggunaan kekuatan ketenteraan terhadap Iran adalah satu kesilapan, dengan kurang daripada dua dalam 10 responden percaya tindakan Amerika Syarikat di Iran berjaya, menurut tinjauan Washington Post-ABC News-Ipsos.
Kira-kira empat dalam 10 responden berkata tindakan itu tidak berjaya, manakala empat dalam 10 lagi berpendapat masih “terlalu awal untuk dipastikan,” menurut tinjauan berkenaan.
Konflik di Iran adalah “tidak popular dalam kalangan rakyat Amerika seperti Perang Iraq semasa tahun keganasan memuncak pada 2006 dan Perang Vietnam pada awal 1970-an,” menurut The Washington Post.
Tinjauan itu juga mendapati sokongan terhadap konflik tersebut dalam kalangan anggota Parti Republican kekal tinggi, dengan 79 peratus menyatakan ia merupakan keputusan yang tepat.
Selain itu, kebanyakan rakyat Amerika percaya tindakan ketenteraan terhadap Iran membawa potensi risiko.
Antaranya, 61 peratus berpendapat ia akan meningkatkan risiko keganasan yang menyasarkan rakyat Amerika, 60 peratus percaya ia akan meningkatkan kemungkinan ekonomi Amerika jatuh ke dalam kemelesetan, manakala 56 peratus berkata tindakan itu meningkatkan risiko melemahkan hubungan dengan sekutu Amerika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.