Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Israel dan Iran: 59 kanak-kanak maut atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu

Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu walaupun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu (13 Mei), lapor Xinhua.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Israel dan Iran: 59 kanak-kanak maut atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu

Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak dilaporkan terbunuh di Lubnan sepanjang minggu lalu. (Gambar fail: AP/Hassan Ammar)

Diterbitkan : 14 May 2026 08:07PM
BEIRUT: Sekurang-kurangnya 59 kanak-kanak dilaporkan terbunuh atau cedera di Lubnan sepanjang minggu lalu walaupun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu (13 Mei), lapor Xinhua.

UNICEF turut memberi amaran berhubung kesan fizikal dan psikologi yang semakin buruk terhadap kanak-kanak yang terselamat.

Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak terbunuh manakala 93 lagi cedera sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada tengah malam antara 16 dan 17 April.

Angka korban kanak-kanak sejak 2 Mac mencecah 200 orang, dengan 806 lagi cedera.

Pada Rabu sahaja, sekurang-kurangnya 33 orang termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh menyusuli peningkatan serangan Israel di selatan dan tengah Lubnan, menurut Pusat Operasi Kecemasan Kesihatan Awam Lubnan dan media tempatan.

“Kanak-kanak terbunuh dan cedera ketika mereka sepatutnya kembali ke bilik darjah, bermain bersama rakan-rakan dan pulih daripada ketakutan serta pergolakan selama berbulan-bulan,” kata Pengarah Serantau UNICEF bagi Timur Tengah dan Afrika Utara, Edouard Beigbeder.

Encik Beigbeder berkata, walaupun perjanjian itu bertujuan menghentikan keganasan, kanak-kanak masih terus menjadi mangsa trauma dan serangan berulang yang boleh memberi kesan sepanjang hayat.

UNICEF turut memberi amaran bahawa lebih 770,000 kanak-kanak di Lubnan mengalami tekanan psikologi yang semakin meningkat akibat pendedahan berulang kepada keganasan, pemindahan dan pelbagai kehilangan dalam kehidupan mereka.

Antara gejala yang dialami kanak-kanak serta penjaga mereka termasuk ketakutan, keresahan, mimpi buruk, insomnia dan rasa berputus asa.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita