Perang Amerika, Israel dan Iran: 22 negara gesa Iran hentikan serangan di tanah air mereka
Sebanyak 22 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah pada Khamis (11 Jun) memberi amaran secara bersama kepada Iran supaya menghentikan serangan terhadap individu "di wilayah kami".
Seorang lelaki mengibarkan bendera Iran berhampiran papan iklan anti-Amerika yang memaparkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Selat Hormuz di Tehran, Iran, pada 30 Mei 2026. (Gambar: WANA melalui REUTERS/Majid Asgaripour)
Perkhidmatan keselamatan Iran turut dikecam kerana dipercayai menggunakan kumpulan jenayah antarabangsa dan tempatan untuk melaksanakan operasi di Eropah, Amerika Utara dan Australia, yang disifatkan sebagai "amat terkutuk".
"Percubaan untuk membunuh, menculik, mengganggu, mengugut atau melancarkan serangan terhadap individu di wilayah kami (menjejaskan) kedaulatan negara dan norma antarabangsa. Tindakan sedemikian mesti dihentikan dengan serta-merta," menurut kenyataan bersama negara-negara tersebut.
Mereka turut menuduh bahawa perkhidmatan perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) dan pasukan operasi luar negaranya, Pasukan Quds, terlibat dalam "kegiatan-kegiatan yang membawa maut dan tindakan berniat jahat" terhadap pembangkang Iran, wartawan serta masyarakat dan kepentingan Yahudi dan Israel.
"Kami bersatu dan bertekad untuk melindungi negara serta rakyat kami daripada ancaman tersebut. Republik Islam Iran mesti menghentikan tindakan tersebut sekarang juga."
Negara-negara tersebut turut menuduh Iran sebagai dalang di sebalik kempen serangan di seluruh Eropah yang menyasarkan masyarkat Yahudi, wartawan Iran dan wartawan Amerika Syarikat, yang dikatakan dilakukan oleh kumpulan berkaitan Iran, Harakat Ashab al-Yamin al-Islamiya.
Kumpulan yang kurang dikenali itu mengaku bertanggungjawab atas beberapa kejadian kebakaran yang berlaku baru-baru ini di rumah ibadat Yahudi dan pusat masyarakat di Golders Green, London, yang menempatkan ramai penduduk Yahudi.
IRAN SERANG ARMADA KELIMA AMERIKA SYARIKAT DI BAHRAIN
Dalam pada itu, media Iran melaporkan bahawa Tehran sudah melancarkan serangan ke atas Armada Kelima Amerika Syarikat di Bahrain.
"Dalam gelombang serangan dron tentera ini, antena komunikasi dan kemudahan radar sistem Patriot milik Armada Kelima telah disasarkan," menurut agensi berita Mehr dan Fars menerusi Telegram.
Amaran serangan udara turut dikeluarkan di Bahrain, dengan para penduduk digesa supaya "bertenang dan pergi ke lokasi selamat yang terdekat", menurut Kementerian Dalam Negeri negara Teluk itu menerusi platform X.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.