Perang Amerika, Israel dan Iran: 155,000 kakitangan awam Malaysia WFH, jimat 334,000 liter minyak
Seramai 155,000 kakitangan awam sudah mendaftar untuk bekerja dari rumah (WFH), dengan penjimatan dianggarkan berjumlah 334,000 liter minyak bernilai RM678,000 (S$217,660) sejak 15 April hingga Selasa (21 Apr).
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI semasa sesi sidang media pada 22 April 2026. (Gambar: Bernama)
This audio is generated by an AI tool.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pada Rabu.
“Pada hari ini, Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai status pelaksanaan dasar bekerja dari rumah bagi penjawat awam,” kata beliau pada taklimat krisis bekalan global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya.
Encik Fahmi berkata pelaksanaan dasar itu merupakan antara langkah kerajaan dalam mengurus impak krisis bekalan global, selain mengoptimumkan penggunaan sumber dengan lebih cekap.
Beliau turut memaklumkan bahawa KSN sudah diingatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sektor swasta berhubung pelaksanaan WFH bagi menilai jumlah keseluruhan penjimatan yang boleh dicapai di peringkat nasional.
“Langkah ini penting bagi memberikan gambaran menyeluruh mengenai keberkesanan inisiatif bekerja dari rumah dalam mengurangkan penggunaan bahan api serta kos operasi,” kata beliau.
Encik Fahmi berkata kerajaan akan terus meneliti dan memperkukuh pendekatan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memastikan pengurusan sumber negara lebih mampan dalam tempoh ketidaktentuan global.
Pelaksanaan dasar WFH bagi sektor perkhidmatan awam bermula pada 15 April sebagai langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh kesiapsiagaan negara mendepani krisis bekalan global menyusuli konflik di Timur Tengah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.