Perang Amerika, Israel and Iran: 2 peluru berpandu disasar ke loji penapisan minyak Arab Saudi berjaya dipintas
Sistem pertahanan udara berjaya memintas dua peluru berpandu yang disasarkan ke loji penapisan minyak di Yanbu, Arab Saudi. (Gambar: CENTCOM/Reuters)
- Sistem pertahanan udara Arab Saudi yang dikendalikan tentera Greece berjaya memintas dua peluru berpandu dan sebuah dron dari Yaman yang menyasarkan loji minyak di Yanbu pada 25 Julai.
- Penduduk Yanbu dan Jizan menerima amaran keselamatan, namun keadaan kembali terkawal tanpa laporan kerosakan atau korban jiwa.
- Amerika Syarikat melancarkan serangan udara ke atas Iran, sementara Presiden Donald Trump memberi amaran tindakan ketenteraan terhadap Iran dan kumpulan Houthi.
- Konflik berterusan di rantau Teluk menjejaskan laluan perkapalan dan meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan minyak global.
Insiden itu berlaku sehari selepas Amerika melancarkan siri serangan udara terbaharu ke atas Iran dalam konflik yang berterusan di rantau tersebut.
Pihak pertahanan awam Arab Saudi mengeluarkan beberapa amaran kepada penduduk di Yanbu sebelum memaklumkan keadaan kembali selamat.
Amaran turut dikeluarkan kepada penduduk di bandar pelabuhan Jizan, berhampiran sempadan Yaman.
Setakat ini, tiada laporan rasmi mengenai jumlah kerosakan atau angka nyawa yang terkorban.
Menurut sumber keselamatan Greece, sistem pertahanan udara Patriot yang memintas peluru berpandu itu dikendalikan anggota tentera Greece.
Greece menempatkan sistem pertahanan udara buatan Amerika itu di Arab Saudi sejak 2021 bagi membantu melindungi infrastruktur tenaga negara tersebut.
Kemudian pada Sabtu (25 Jul), sistem Patriot itu turut memintas sebuah dron yang dilancarkan dari Yaman di kawasan Yanbu.
Sehari sebelum itu, Presiden Amerika Donald Trump memberi amaran bahawa Iran dan sekutunya, kumpulan Houthi di Yaman, akan berdepan "hukuman ketenteraan besar" selepas kumpulan itu mendakwa menyerang dua kapal tangki Arab Saudi di Laut Merah.
Kumpulan Houthi sebelum ini mengumumkan sekatan laut ke atas Arab Saudi, manakala gabungan tentera yang diketuai Arab Saudi memaklumkan pihaknya melancarkan serangan ke atas sasaran ketenteraan Houthi dalam beberapa hari kebelakangan ini.
Amerika melancarkan serangan udara ke atas Iran pada Khamis (23 Jul) malam dan awal Jumaat (24 Jul), menjadikannya malam ke-13 berturut-turut operasi ketenteraan tersebut.
Konflik yang berlarutan hampir lima bulan itu terus menjejaskan laluan perkapalan utama di Selat Hormuz serta meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan minyak global.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.