Skip to main content

Dunia

Perang Amerika, Iran dan Israel: Iran usul gantung aktiviti nuklear hingga 5 tahun

Amerika Syarikat dan Iran saling bertukar-tukar cadangan bagi penggantungan aktiviti nuklear Iran semasa rundingan hujung minggu di Pakistan, namun masih jauh berbeza dari segi pendapat berhubung tempoh sebarang perjanjian, menurut para pegawai Iran dan Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Perang Amerika, Iran dan Israel: Iran usul gantung aktiviti nuklear hingga 5 tahun

Naib Presiden Amerika Syarikat JD Vance berucap semasa sidang media selepas bertemu dengan wakil dari Pakistan dan Iran, sedang Jared Kushner dan Steve Witkoff, Utusan Khas untuk Misi Keamanan, mendengar ucapannya, pada 12 April 2026, di Islamabad, Pakistan. (Gambar: REUTERS/Jacquelyn Martin)

Diterbitkan : 14 Apr 2026 09:41AM
WASHINGTON: Amerika Syarikat dan Iran saling bertukar-tukar cadangan bagi penggantungan aktiviti nuklear Iran semasa rundingan hujung minggu di Pakistan, namun masih jauh berbeza dari segi pendapat berhubung tempoh sebarang perjanjian, menurut para pegawai Iran dan Amerika Syarikat.

Iran pada Isnin (13 Apr) menyatakan ia boleh menggantung pengayaan uraniumnya sehingga lima tahun — satu tawaran yang ditolak pentadbiran Presiden Donald Trump, yang bertegas dengan tempoh 20 tahun, menurut dua pegawai kanan Iran dan seorang pegawai Amerika Syarikat. Namun, perbincangan tersebut membayangkan kemungkinan wujudnya laluan ke arah perjanjian damai, meskipun tentera Amerika Syarikat memulakan kepungan ke atas pelabuhan Iran pada Isnin, sekali gus mengancam gencatan senjata yang baru berkuatkuasa bagi tempoh hampir seminggu.

Para pegawai berkata mereka sedang membincangkan pusingan kedua rundingan secara empat mata, namun tidak memberikan butiran lanjut.

Presiden Trump mengumumkan kepungan tersebut selepas rundingan peringkat tinggi dengan Iran gagal mencapai persetujuan pada hujung minggu, dan berkata negara-negara lain akan turut serta dalam melaksanakan langkah tersebut. Namun pada Isnin, beberapa pemimpin Eropah menolak cadangan tersebut, dan sekurang-kurangnya sebuah kapal, iaitu kapal tangki yang dikaitkan dengan Iran, dilihat mencabar kepungan tersebut.

Tidak lama selepas kepungan dikuatkuasakan pada pagi Isnin, Iran berikrar untuk bertindak balas. Seorang jurucakap Pengawal Revolusi yang berpengaruh mengancam untuk “memperkenalkan kaedah peperangan baharu”, manakala jurucakap tentera Iran, Ebrahim Zolfaghari, berkata “tiada pelabuhan di Teluk Parsi dan Laut Oman akan selamat” jika pelabuhan Iran diancam.

Matlamat kepungan itu adalah untuk menghalang Iran daripada meraih keuntungan daripada eksport minyak serta memberi tekanan kepada kepimpinannya supaya menerima syarat Amerika bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan selama lebih sebulan. Tentera Amerika Syarikat menyatakan ia akan menyekat kapal-kapal “yang memasuki atau meninggalkan pelabuhan dan kawasan pesisir Iran”, sambil membenarkan kapal lain melalui Selat Hormuz dalam perjalanan ke pelabuhan lain.

Sebelum Amerika Syarikat bertindak menyekat trafik di selat berkenaan, Iran pada asasnya sudah menutupn laluan tersebut terlebih dahulu. Pasukan Iran sebahagian besarnya menghalang kapal-kapal tangki dan kapal-kapal Barat daripada melalui selat tersebut, iaitu laluan air di Teluk Parsi yang menyalurkan sekitar satu perlima daripada minyak dunia yang melalui laut.

Harga minyak melonjak lebih 50 peratus pada beberapa ketika sejak perang bermula pada akhir Februari. Pada Isnin, harga minyak mentah Brent, penanda aras global, mencecah AS$102 (S$129.81) setong sebelum ditutup sekitar AS$99 (S$125.99).
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita