Perancis, Vietnam bakal meterai puluhan perjanjian semasa lawatan Macron ke Hanoi
Perancis dan Vietnam dijangka menandatangani puluhan perjanjian pada Isnin (26 Mei) apabila Presiden Perancis Emmanuel Macron bertemu pemimpin Vietnam di Hanoi dalam usaha untuk memperkukuh pengaruh Perancis di bekas tanah jajahannya itu, yang kini berdepan ancaman tarif tinggi daripada Amerika Syarikat.
Presiden Perancis Emmanuel Macron (tengah) dan isterinya Brigitte Macron disambut para pegawai Vietnam setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi pada 25 Mei 2025. (Gambar: AFP/Ludovic Martin)
Dalam lawatan rasmi pertamanya ke negara itu, yang juga merupakan lawatan pertama oleh seorang presiden Perancis dalam tempoh hampir sedekad, Encik Macron akan diiringi berpuluh eksekutif perniagaan, menurut seorang pegawai yang mengetahui akan perkara tersebut. Beliau dijangka menyaksikan pemeteraian sekitar 30 perjanjian dalam usahanya untuk mempertingkat kerjasama dalam pelbagai sektor termasuk penerbangan, tenaga nuklear, rel, tenaga boleh diperbaharui, penyelidikan, satelit dan pertahanan.
Lawatan Encik Macron ke Vietnam sudah lama dirancang. Vietnam menjadi perhentian pertama dalam jelajah Asia Tenggara Presiden Perancis itu yang turut merangkumi Indonesia dan Singapura. Lawatan Encik Macron berlangsung tidak lama selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas barangan Kesatuan Eropah (EU) mulai Jun, sekali gus memburukkan lagi ketegangan perdagangan dengan blok yang merangkumi 27 negara itu.
Vietnam, yang bergantung kepada eksport, turut berdepan tekanan daripada Washington untuk membeli lebih banyak barangan dari Amerika bagi mengelak tarif setinggi 46 peratus. Menurut dua pegawai berpangkalan di Vietnam yang mengetahui tentang perbincangan tersebut, pegawai Eropah telah menasihati Vietnam sebelum lawatan Encik Macron agar berhati-hati dalam membuat sebarang konsesi kepada Rumah Putih.
Dalam rundingannya dengan Amerika Syarikat, “Vietnam harus memastikan keputusannya tidak menjejaskan kepentingan Eropah,” kata salah seorang pegawai tersebut, sambil menegaskan bahawa para pemimpin Vietnam diberi amaran bahawa perkara itu boleh menjejas hubungan erat dengan EU, yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Vietnam dan merupakan pembeli utama barangan negara itu.
Masih belum jelas sama ada Encik Macron akan menekankan mesej tersebut pada Isnin, kerana ia mungkin bergantung kepada jenis perjanjian yang akan dimeterai Perancis.
AIRBUS
Kemajuan mungkin dicapai dalam perjanjian antara syarikat penerbangan tambang murah Vietnam, VietJet, dan pengeluar pesawat Eropah, Airbus, menurut dua sumber yang mengetahui akan perbincangan tersebut. Hal tersebut menyusuli perjanjian awal yang ditandatangani tahun lalu bagi penghantaran sebanyak 20 pesawat berbadan lebar A330neo.
“Kami tidak mengulas mengenai perbincangan yang mungkin atau mungkin tidak berlaku dengan mana-mana syarikat penerbangan,” kata jurucakap Airbus.
Pejabat Presiden Macron di Istana Elysee sebelum ini mengesahkan bahawa puluhan perjanjian dijangka dimeterai, namun tidak memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas mengenai urusan pesawat atau mesej Encik Macron berkenaan konsesi kepada Amerika Syarikat.
Kementerian Luar Vietnam dan syarikat VietJet juga tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan untuk komen.
Perbincangan berkaitan satelit termasuk daripada Airbus juga berada di peringkat lanjut, menurut para pegawai.
Vietnam, yang sangat bergantung kepada eksport ke Amerika Syarikat bagi ekonominya, telah membuat beberapa perjanjian dalam rundingan perdagangannya dengan Washington bagi mengelak tarif yang boleh menjejaskan model pertumbuhan negaranya.
Salah satu tawaran yang sering disebut adalah kemungkinan pembelian sekurang-kurangnya 250 pesawat Boeing oleh syarikat penerbangan milik negara, Vietnam Airlines, dan pesaingnya, VietJet, yang menurut pegawai Vietnam dan Amerika Syarikat, boleh membantu mengurangkan lebihan dagangan besar negara itu dengan Amerika dan mungkin meredakan ketegangan yang dihadapi dengan Encik Trump.
Para pegawai Eropah bimbang Airbus mungkin terlepas peluang daripada perjanjian-perjanjian tersebut, menurut tiga sumber yang mengetahui akan kebimbangan itu.
Airbus kini merupakan pembekal utama pesawat ke Vietnam, dengan pesawatnya merangkumi 86 peratus daripada armada yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Vietnam, menurut data daripada Cirium, sebuah syarikat analitik penerbangan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.