Skip to main content

Dunia

Perancis terus bergelut dengan kebakaran hutan berhampiran Bordeaux

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 26 Jul 2026 05:47PM
  • Kebakaran hutan besar berlaku di sekitar Bordeaux, Perancis, mengancam kawasan pinggir bandar dan destinasi pelancongan Cap Ferret.
  • Pihak berkuasa tempatan memperluaskan operasi pemindahan, melibatkan lebih 220,000 penduduk sejak kebakaran bermula awal minggu lalu.
  • Anggota bomba dibantu petani tempatan seperti Pascal Roudier dalam usaha memadam kebakaran dan melindungi komuniti.
  • Gelombang haba dan suhu luar biasa tinggi di Aquitaine dikenal pasti sebagai punca utama kebakaran merebak dengan pantas.
Dijana oleh AI
BORDEAUX: Anggota bomba terus berusaha mengawal kebakaran hutan yang mengancam bandar Bordeaux di barat daya Perancis, ketika pihak berkuasa memperluaskan operasi pemindahan penduduk.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan kebakaran itu merebak dengan pantas sepanjang malam hingga Ahad (26 Jul), sekali gus meningkatkan risiko kepada kawasan pinggir bandar Bordeaux.

Setakat ini, lebih 220,000 penduduk telah dipindahkan selepas kebakaran hutan yang tercetus awal minggu lalu merebak ke Cap Ferret, sebuah destinasi peranginan popular di wilayah Aquitaine.

Bordeaux yang terkenal dengan kawasan ladang anggurnya turut menjadi hab utama pelancong yang berkunjung ke pusat peranginan di pesisir Atlantik.

Selain anggota bomba, petani tempatan turut menawarkan bantuan dalam operasi memadam kebakaran.

Seorang petani, Pascal Roudier, berkata beliau dan beberapa petani lain tampil membantu kerana memahami kesukaran yang dihadapi penduduk serta pasukan penyelamat.

Menurut Reuters Climate Monitor, suhu purata di wilayah Aquitaine sepanjang Julai mencecah 32.2 darjah Celsius, iaitu 7.3 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata bagi tempoh 1961 hingga 1990.

Gelombang haba yang melanda sebahagian besar Eropah sejak beberapa minggu lalu dipercayai menyumbang kepada kebakaran hutan yang berlaku di beberapa negara, termasuk Perancis dan Sepanyol.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita