Skip to main content

Dunia

Perancis tekankan kedaulatan negara perlu dihormati dalam usaha Amerika perangi kartel dadah

Anggaran Waktu Membaca:
Perancis tekankan kedaulatan negara perlu dihormati dalam usaha Amerika perangi kartel dadah

Presiden Perancis Emmanuel Macron bertemu dengan rakan sejawatannya dari Mexico, Claudia Sheinbaum di Mexico City, 7 November 2025. (Gambar: Marco Ugarte, AP)

Diterbitkan : 08 Nov 2025 10:14AM Dikemas Kini : 08 Nov 2025 10:15AM
WASHINGTON: Presiden Perancis Emmanuel Macron menegaskan bahawa setiap negara mesti saling menghormati kedaulatan masing-masing dalam usaha membanteras penyeludupan dadah, ketika mengulas kempen serangan Pentagon dan laporan bahawa Amerika Syarikat (AS) mungkin menghantar tentera ke Mexico, lapor agensi berita Sputnik/RIA Novosti.

Pada 3 Oktober, NBC News melaporkan bahawa pentadbiran Presiden Donald Trump memulakan persiapan untuk misi yang melibatkan penghantaran anggota tentera serta pegawai perisikan Amerika Syarikat ke Mexico kononnya bagi memerangi kartel dadah. 

Rumah Putih enggan mengesahkan laporan itu pada Selasa (4 Nov), manakala Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, menolak sebarang bentuk campur tangan ketenteraan Amerika Syarikat di negaranya.

“Saya hanya ingin katakan bahawa Perancis komited terhadap prinsip kedaulatan negara. 

"Perjuangan menentang pengedar dadah adalah usaha bersama yang menyatukan kita semua… ia diselesaikan melalui kerjasama antara negara-negara berdaulat dan dengan menghormati kedaulatan masing-masing,” kata Encik Macron pada Jumaat (7 Nov) dalam sidang akhbar bersama Cik Sheinbaum ketika ditanya mengenai pendiriannya terhadap serangan dan kemungkinan campur tangan Washington di Mexico.

Presiden Perancis itu menegaskan bahawa pemerintah beliau akan terus memerangi pengedaran dadah mengikut rangka kerja yang “sepenuhnya menghormati kedaulatan negara”.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Pentagon meningkatkan jumlah aset tentera laut, udara dan darat yang ditempatkan di seluruh Caribbean, di bawah kawasan tanggungjawab Markas Selatan Amerika Syarikat. 

Tindakan itu dikatakan sebahagian daripada operasi besar-besaran yang menyasarkan penyeludupan dadah dan keganasan, menurut Washington.

Sejak awal September, Presiden Trump membenarkan beberapa siri serangan yang menyasarkan kapal-kapal yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah di Caribbean dan Pasifik Timur. 

Sehingga 7 Nov, serangan itu memusnahkan kira-kira 18 kapal dan mengakibatkan sekurang-kurangnya 70 kematian.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita