Skip to main content

Dunia

Perancis tahan lebih 300 individu terbabit kebakaran hutan

Anggaran Waktu Membaca:
Perancis tahan lebih 300 individu terbabit kebakaran hutan

Penduduk dan anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran hutan yang semakin hampir berhampiran Formariz di wilayah Zamora, Sepanyol, pada 29 Julai 2026. (Gambar: REUTERS/Umit Bektas)

Diterbitkan : 31 Jul 2026 11:33PM Dikemas Kini : 31 Jul 2026 11:34PM
  • Menteri Dalam Negeri Perancis Laurent Nunez mengumumkan 308 individu ditahan berkaitan kebakaran hutan sejak bermulanya musim kebakaran, termasuk 127 bawah umur.
  • Kira-kira dua pertiga daripada tangkapan melibatkan suspek perbuatan khianat, dengan 33 orang kini ditahan reman atau menunggu perbicaraan.
  • Kebakaran di Wilayah Gironde memusnahkan hampir 42,000 hektar dan masih belum dapat dikawal sepenuhnya, walaupun keadaan semakin baik.
  • Pihak berkuasa membenarkan 84,000 penduduk pulang ke rumah di sembilan kawasan, namun 29 wilayah masih di bawah amaran jingga risiko kebakaran.
Dijana oleh AI
ISTANBUL: Menteri Dalam Negeri Perancis Laurent Nunez pada Jumaat (31Jul) mengumumkan lebih 300 individu ditahan berhubung kebakaran hutan di seluruh negara itu sejak bermulanya musim kebakaran, lapor Anadolu Ajansi.

Encik Nunez memberitahu penyiar RTL seramai 308 individu ditahan, sambil menyifatkan jumlah itu sebagai "amat tinggi."

Beliau berkata kira-kira dua pertiga daripada tangkapan itu membabitkan individu yang disyaki melakukan perbuatan khianat dengan membakar. Daripada jumlah itu, 33 individu dilaporkan telah ditahan reman, sedang menunggu perbicaraan atau sabit kesalahan.

Kementerian Dalam Negeri Perancis kemudian menjelaskan kepada RTL bahawa 127 daripada mereka yang ditahan ialah individu bawah umur.

Encik Nunez turut mengemas kini situasi kebakaran hutan di Wilayah Gironde di barat daya Perancis, yang memusnahkan hampir 42,000 hektar kawasan.

Beliau berkata kebakaran itu kini masih belum dapat dikawal sepenuhnya kerana beberapa titik panas masih memerlukan usaha pemadaman.

Ketika keadaan kebakaran hutan di barat daya Perancis terus menunjukkan peningkatan, pihak berkuasa membenarkan lebih ramai penduduk pulang ke kediaman masing-masing, menurut penyiar BFMTV.

Wilayah Pentadbiran Gironde memaklumkan seramai 84,000 lagi penduduk dibenarkan pulang serta-merta ke rumah mereka di sembilan kawasan perbandaran berhampiran Bordeaux.

Pada Khamis, Encik Nunez berkata kepada BFMTV bahawa pihak berkuasa percaya "keadaan paling buruk mungkin telah berlalu" berikutan situasi kebakaran yang semakin bertambah baik, namun beliau menggesa orang ramai agar terus berwaspada.

Peta amaran semasa yang dikeluarkan oleh Meteo-France menunjukkan 29 wilayah pentadbiran di Perancis masih berada di bawah amaran jingga bagi risiko kebakaran hutan.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita