Skip to main content

Dunia

Perancis siasat Israel susulan dakwaan penderaan seksual aktivis flotila Gaza

Pendakwa raya Perancis akan menyiasat dakwaan layanan pihak berkuasa Israel terhadap rakyat negara itu yang ditahan ketika serbuan ke atas flotila bantuan menuju ke Gaza.

Anggaran Waktu Membaca:
Perancis siasat Israel susulan dakwaan penderaan seksual aktivis flotila Gaza

Pendakwa raya Perancis akan menyiasat dakwaan layanan pihak berkuasa Israel terhadap rakyat negara itu yang ditahan ketika serbuan ke atas flotila bantuan menuju ke Gaza.

Diterbitkan : 30 May 2026 08:33AM Dikemas Kini : 30 May 2026 09:01AM
  • Pendakwa raya Perancis memulakan siasatan terhadap dakwaan layanan buruk oleh pihak berkuasa Israel ke atas rakyat Perancis yang ditahan semasa serbuan ke atas flotila bantuan ke Gaza pada 19 Mei.
  • Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menyatakan laporan menunjukkan aktivis mengalami keganasan seksual, pemukulan dan penghinaan, yang boleh dianggap sebagai jenayah jika terbukti.
  • Israel menafikan tuduhan tersebut, namun Perancis memanggil duta Israel dan melarang Menteri Keselamatan Nasional Israel memasuki negara itu susulan insiden dan video tular.
  • Penganjur flotila dan peguam aktivis Perancis turut merancang tindakan undang-undang, sementara aktivis enggan bertemu pemerintah Perancis kerana mendakwa negara itu menyokong serangan Israel ke atas Gaza.
Dijana oleh AI
PARIS: Pendakwa raya Perancis akan menyiasat dakwaan layanan pihak berkuasa Israel terhadap rakyat negara itu yang ditahan ketika serbuan ke atas flotila bantuan menuju ke Gaza.

Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot memaklumkan beliau mengarahkan pihak pendakwa memulakan siasatan susulan dakwaan tentera Israel melakukan keganasan seksual, memukul dan mengaibkan aktivis yang ditahan ketika memintas Flotila Global Sumud awal bulan ini.

Menurut beliau, jika terbukti, perbuatan tersebut berkemungkinan merupakan kesalahan jenayah.

Israel sebelum ini berdepan kritikan hebat daripada beberapa pihak susulan cara ia mengendalikan lebih 400 individu yang ditahan di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.

Namun, sokongan terhadap Israel dan operasinya di Gaza, Tebing Barat, Iran serta Lubnan secara umumnya masih berterusan.

Pihak berkuasa Israel menafikan sebarang salah laku terhadap aktivis flotila tersebut.

Encik Barrot berkata laporan yang diterima daripada Konsul Jeneral Perancis di Turki memaklumkan bahawa warganya berdepan keganasan seksual, terdedah kepada suhu sejuk melampau, dipukul serta dihina secara berulang.

“Semua perbuatan ini berkemungkinan merupakan kesalahan jenayah,” katanya dalam temu bual bersama radio awam Perancis.

Dua minggu lalu, lebih 50 bot yang membawa rakyat dari kira-kira 40 negara berlepas dari pelabuhan Marmaris, Turki, dalam usaha memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Sekatan itu menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan hak asasi manusia adalah tidak sah, malah disifatkan sebagai satu bentuk hukuman kolektif.

Israel memintas kapal-kapal tersebut pada 19 Mei lalu, menahan semua penumpang sebelum menempatkan mereka dalam keadaan yang disifatkan ganas, sebelum akhirnya mengusir kesemua aktivis asing terbabit.

Seramai 37 rakyat Perancis berada dalam kumpulan itu dan menggambarkan penahanan mereka sebagai “amat ganas”, “menghina” dan “tidak berperikemanusiaan.”

Encik Barrot menjadi antara suara lantang di peringkat antarabangsa membantah layanan tersebut.

Minggu lalu, beliau turut melarang Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir daripada memasuki Perancis selepas tular video memaparkan ahli politik itu mengejek aktivis yang diikat dan ditutup matanya.

Seperti beberapa negara lain, Perancis turut memanggil duta Israel bagi memberikan penjelasan berhubung insiden itu.

Pihak penganjur, Global Sumud Flotilla menyatakan sekurang-kurangnya 15 kes penderaan seksual direkodkan.

Peguam yang mewakili aktivis Perancis pula memaklumkan mereka merancang untuk memfailkan aduan berasingan berhubung dakwaan rogol, penyeksaan dan penghinaan.

Dalam pada itu, para aktivis terbabit dilaporkan enggan bertemu pemerintah Perancis bagi berkongsi pengalaman mereka, dengan mendakwa negara itu menyokong serangan Israel ke atas Gaza.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita