Skip to main content

Dunia

Perancis siasat bertambahnya kes bayi lahir tangan cacat

Kementerian Kesihatan Perancis pada Ahad (21 Okt) mengumumkan satu siasatan baru terhadap kelahiran beberapa bayi dengan kecacatan tangan di beberapa bahagian negara itu sejak beberapa tahun lalu. Menurutnya alasan tiada punca ditemui ‘tidak boleh diterima.’

Anggaran Waktu Membaca:
Perancis siasat bertambahnya kes bayi lahir tangan cacat

Gambar fail seorang bayi. (Gambar: Loic Venance/AFP)

Diterbitkan : 21 Oct 2018 11:12PM Dikemas Kini : 21 Oct 2018 11:26PM

PARIS: Kementerian Kesihatan Perancis pada Ahad (21 Okt) mengumumkan satu siasatan baru terhadap kelahiran beberapa bayi dengan kecacatan tangan di beberapa bahagian negara itu sejak beberapa tahun lalu. Menurutnya alasan tiada punca ditemui ‘tidak boleh diterima.’

Menteri Kesihatan, Agnes Buzyn berkata, beliau dan Menteri Sekitaran, Francois de Rugy memutuskan untuk meneliti lebih rapi punca yang menyebabkan 14 bayi lahir dengan tangan cacat atau tanpa anggota itu sejak 2007, dua minggu selepas pihak berkuasa kesihatan berkata, mereka gagal mendapatkan penjelasan mengenainya.

Kes itu tertumpu di tiga kawasan pentadbiran Perancis iaitu Ain yang bersempadankan Switzerland, mencatat tujuh kes antara 2009 dan 2014; Brittany di pantai barat, mencatat empat kes antara 2011 dan 2013 serta Loire-Atlantique, di selatan Brittany, dengan tiga kes dicatatkan antara 2007 dan 2008.

Dalam satu laporan pada 4 Oktober lalu, agensi kesihatan awam Perancis berkata, meskipun jumlah kes di kawasan Ain bukan di atas paras negara, jumlah kes di Brittany dan Loire-Atlantique dari segi statistik ‘agak melampau.’

Namun ia berkata, pihaknya tidak menemui ‘pendedahan serupa’ yang mungkin menjelaskan situasi di ketiga-tiga kawasan itu.

Kurang 150 bayi lahir setiap tahun di Perancis dengan kecacatan anggota tangan bahagian atas, yang berlaku apabila sebahagian atau seluruh lengan, gagal terbentuk dengan lengkap ketika kehamilan.

Meski punca kecacatan tersebut tidak diketahui, penyelidikan menunjukkan, pendedahan ibu terhadap bahan kimia tertentu atau ubat-ubatan ketika hamil boleh meningkatkan risiko.

Cik Buzyn memberitahu saluran LCI, pakar alam sekitar akan menyertai pakar kesihatan dalam menyiasat kes itu untuk cuba menjelaskan fenomena berkenaan.

“Kita tidak boleh berpuas hati dengan mengatakan kita tidak menemui kes itu, ia tidak boleh diterima,” kata beliau.

Pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, ribuan bayi di seluruh dunia lahir dengan tangan cacat dikaitkan dengan penggunaan ubat thalidomide, yang digunakan untuk merawat wanita hamil yang loya. Ia diharamkan pada 1960-an.

Sumber : AFP/SU/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita