Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perancis perketat keselamatan sempena lawatan Biden bagi ulang tahun ke-80 Normandy

Anggaran Waktu Membaca:
PARIS: Perancis akan mengetatkan langkah-langkah keselamatan sepanjang beberapa hari akan datang sempena lawatan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden ke negara itu, menurut polis Paris pada Rabu (5 Jun).

Pesawat Presiden Biden yang mendarat di Lapangan Terbang Orly berhampiran Paris, menyaksikan pemimpin Amerika Syarikat itu disambut oleh Perdana Menteri Perancis Gabriel Attal.

Presiden Biden akan menyertai acara memperingati ulang tahun ke-80 Pendaratan Normandy yang juga dikenali sebagai D-Day dan mengadakan rundingan dua hala dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron untuk membincangkan isu Ukraine, situasi di Timur Tengah dan isu iklim.

"Presiden dan Wanita Pertama Amerika Syarikat akan berada di Perancis dari 5 hingga 9 Jun 2024. Sehubungan itu, langkah-langkah keselamatan telah diambil oleh jabatan polis," menurut satu kenyataan.

Polis membenarkan "penggambaran, rakaman dan penyiaran imej yang dirakam oleh kamera yang dipasang pada pesawat" untuk menjaga keselamatan dan mengelakkan serangan pengganas. Permit ini sah di Paris dari awal pagi 5 Jun sehingga 2.00 petang waktu tempatan pada 9 Jun, menurut kenyataan tersebut.

Permit serupa juga dibenarkan untuk kamera yang dipasang pada helikopter dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah malam Rabu untuk memastikan keselamatan konvoi kenderaan yang mengiring presiden semasa ketibaan Presiden Biden.

Permit itu sah untuk seluruh bandar Paris dan jabatan pinggir bandar Val-de-Marne, iaitu lokasi Lapangan Terbang Orly, menurut kenyataan itu lagi.

Selain itu, kepungan keselamatan akan diwujudkan di beberapa daerah di Paris sepanjang lawatan Presiden Biden, termasuk sekatan jalan di bahagian tengah Paris sehingga Ahad dan di Avenue des Champs-Elysees pada Sabtu dari awal pagi hingga 11.00 malam, menurut polis.

Sesiapa sahaja yang ingin memasuki bahagian bandar yang disekat perlu menjalani pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasa undang-undang, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, stesen radio France Bleu melaporkan bahawa sekatan-sekatan jalan menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di pinggir bandar Paris dan bahagian barat bandar.

Lalu lintas kini terhad di kedua-dua arah di beberapa lebuh raya dan di Boulevard Peripherique, menurut laporan tersebut.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan