Skip to main content

Dunia

Perancis gesa negara Eropah main peranan laksana perjanjian gencatan senjata Gaza

Anggaran Waktu Membaca:
Perancis gesa negara Eropah main peranan laksana perjanjian gencatan senjata Gaza
Warga Palestin dikelilingi serpihan runtuhan bangunan yang musnah akibat diserang Israel di kejiranan Sheikh Radwan di Gaza City pada 14 November 2025. (Gambar fail: AP/Jehad Alshrafi)
ISTANBUL: Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot pada Khamis (20 Nov) menggesa negara-negara Eropah supaya memainkan peranan penuh dalam melaksanakan perjanjian genjatan senjata Gaza yang berkuat kuasa pada 10 Okt, lapor Anadolu Ajansi (AA).

"Saya mengecam pelanggaran genjatan senjata yang berlaku semalam (Rabu), yang mengakibatkan ramai mangsa terkorban dan cedera. Semua pihak mesti mematuhi dengan tegas pelan damai Amerika Syarikat yang kini disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Perancis dan Eropah mesti memainkan peranan penuh dalam melaksanakan pelan ini. Itulah hasrat kami," kata Encik Barrot sebelum mesyuarat Majlis Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU).

Dalam perkembangan berasingan, beliau menyatakan sokongan terhadap objektif perkumpulan itu untuk melatih sehingga 3,000 anggota polis dan pasukan keselamatan, selain berkata Perancis "bersedia" untuk menempatkan kira-kira 100 anggota pasukan pengaman di wilayah Palestin.

"Pada masa yang sama, kami menyokong usaha pada peringkat pentadbiran dan tadbir urus," tambah Encik Barrot.

Beliau menyifatkan situasi di Sudan dengan perang saudara antara tentera dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) berterusan sejak April 2023 sebagai krisis kemanusiaan "paling serius" di dunia ketika ini.

Beliau mengecam "penganiayaan bermotifkan etnik" yang dilakukan oleh RSF, sambil menegaskan bahawa kekejaman sedemikian tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.

Encik Barrot turut mengulangi keperluan untuk keamanan yang adil dan berkekalan di Ukraine yang menghormati kedaulatan semua pihak.
Sumber : Bernama/AW/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita