Perancis dijangka iktiraf negara Palestin pada Jun 2025
Presiden Emmanuel Macron berkata Perancis mungkin akan mengiktiraf Palestin "dalam masa beberapa bulan akan datang".
Presiden Perancis Emmanuel Macron berucap kepada para hadirin di majlis penganugerahan Ilan Halimi di Istana Presiden Elysee di Paris pada 13 Feb 2025. (Gambar: AFP/Yoan VALAT)
This audio is generated by an AI tool.
Dalam wawancara bersama Saluran France 5 pada Rabu (9 Apr), Encik Macron berkata bahawa beliau menjangkakan akan memuktamadkan langkah itu semasa persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai konflik Israel-Hamas, yang bakal dianjurkan secara bersama oleh Perancis dan Arab Saudi pada Jun depan.
“Kita mesti bergerak ke arah pengiktirafan dan kita akan melakukannya dalam masa beberapa bulan akan datang,” kata Encik Macron.
“Saya tidak melakukannya untuk menyenangkan sesiapa. Saya akan melakukannya kerana pada suatu ketika ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan,” tambah beliau.
Mengulas perkembangan itu, Menteri Negara bagi Ehwal Luar Palestin, Varsen Aghabekian Shahin menyambut baik kenyataan Encik Macron dan menyifatkan pendirian itu sebagai “langkah ke arah yang betul, selaras dengan usaha untuk mempertahankan hak rakyat Palestin dan huraian dua negara.”
Kenyataan Encik Macron dibuat di tengah-tengah desakan antarabangsa yang semakin meningkat untuk penyelesaian politik terhadap konflik di Gaza, di mana Israel telah membunuh lebih 50,000 orang sejak Oktober 2023 serta perselisihan yang lebih luas antara Israel dan Hamas.
Pada Februari 2024, Encik Macron menegaskan bahawa mengiktiraf negara Palestin bukanlah "tabu untuk Perancis" dan menggambarkan langkah tersebut sebagai keperluan moral dan politik.
“Kita berhutang kepada rakyat Palestin yang cita-cita mereka telah diinjak-injak terlalu lama. Kita berhutang kepada rakyat Israel yang mengalami pembunuhan anti-Yahudi terbesar dalam abad kita.
“Kita berhutang kepada sebuah rantau yang mendambakan kebebasan daripada kekacauan dan penabur balas dendam,” katanya ketika itu.
Buat masa ini, 147 daripada 193 negara anggota PBB mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Pada Mei 2024, Sepanyol, Ireland dan Norway menyertai senarai itu menjadikan jumlah negara Kesatuan Eropah (EU) yang mengiktiraf Palestin sebanyak 10 buah negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.