Skip to main content

Dunia

Perancis beri amaran angka korban dijangka meningkat sedang Eropah alami gelombang haba dahsyat

Suhu mencecah setinggi 40 darjah Celsius di beberapa bahagian Eropah pada Ahad (28 Jun) sedang ribut bergerak ke bahagian lain, dengan Perancis melaporkan 1,000 kematian tambahan semasa gelombang haba paling panas itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Perancis beri amaran angka korban dijangka meningkat sedang Eropah alami gelombang haba dahsyat

Seorang individu memegang payung untuk berteduh daripada terik matahari di Menara Eiffel. (Gambar: Reuters/Tom Nicholson)

Diterbitkan : 29 Jun 2026 07:35AM Dikemas Kini : 29 Jun 2026 07:39AM
PARIS/ROM/ZURICH: Suhu mencecah setinggi 40 darjah Celsius di beberapa bahagian Eropah pada Ahad (28 Jun) sedang ribut bergerak ke bahagian lain, dengan Perancis melaporkan 1,000 kematian tambahan semasa gelombang haba paling panas itu.

Agensi kesihatan awam Perancis menyatakan kebanyakan kes kematian berkaitan haba melibatkan warga emas dan memberi amaran jumlah tersebut dijangka meningkat sedang lebih banyak maklumat diperolehi mengenai kematian yang berlaku di pusat jagaan kediaman dan rumah privet.

Para saintis berkata gelombang haba itu yang bermula pada 20 Jun, adalah yang terburuk pernah dicatatkan di Eropah.

Cuaca panas terik menjejas penjanaan kuasa, merosakkan infrastruktur dan membebani sistem jagaan kesihatan.

"Pada masa ini, 150 juta orang tinggal dalam keadaan cuaca panas melampau, ratusan orang sudah meninggal dunia, sekolah-sekolah ditutup, grid tenaga terjejas," kata Setiausaha Agung Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Tedros Adhanom Ghebreyesus di platform X.

"Dipacu oleh perubahan iklim dan pemanasan bumi, fenomena gelombang haba yang berlaku 'sekali dalam generasi' kini berlaku hampir setiap tahun. Kami sudah diberi amaran," katanya sambil menambah rumah-rumah, tempat kerja dan sekolah-sekolah di Eropah tidak mempunyai kelengkapan sesuai untuk menangani cuaca panas melampau.

Gelombang haba itu hampir "mustahil berlaku" tanpa perubahan iklim yang disebabkan oleh kegiatan manusia, yang menyebabkan suhu waktu malam pada minggu ini melonjak 100 kali ganda lebih tinggi berbanding dua dekad lalu, menurut para saintis.

SISTEM PENGANGKUTAN, TENAGA TERJEJAS

Suhu mencecah paras rekod di Austria, Republik Czech, Jerman dan Poland, manakala ribut berlaku di beberapa bahagian Perancis, menyebabkan gangguan terhadap perjalanan dan bekalan tenaga.

Di Jerman, perkhidmatan tren dikurangkan bagi laluan rel utama di wilayah barat North Rhine-Westphalia manakala khidmat tram digantung di bandar timur Leipzig.

Ramai orang berlindung di rumah, dan enggan keluar sehingga matahari mula terbenam, lapor media tempatan.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita