Skip to main content

Dunia

Peranan baharu tentera Indonesia dalam sektor farmaseutikal cetus kebimbangan

Tentera Indonesia akan mula menghasilkan ubat-ubatan untuk diedarkan kepada orang awam di bawah satu perjanjian baharu, menurut para pegawai pada Selasa (22 Jul), dalam langkah terkini yang memperluas peranan angkatan bersenjata dalam urusan awam sejak Encik Prabowo Subianto mengambil alih jawatan sebagai presiden negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Peranan baharu tentera Indonesia dalam sektor farmaseutikal cetus kebimbangan

Gambar fail Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang diambil di Jakarta pada 8 April 2025. Encik Prabowo – mantan Menteri Pertahanan dan komander pasukan khas – sudah memperluaskan peranan ketenteraan yang berpengaruh dalam urusan sivik sejak memegang jawatan sebagai presiden tahun lalu. (Gambar: AFP/Yasuyoshi Chiba)

JAKARTA: Tentera Indonesia akan mula menghasilkan ubat-ubatan untuk diedarkan kepada orang awam di bawah satu perjanjian baharu, menurut para pegawai pada Selasa (22 Jul), dalam langkah terkini yang memperluas peranan angkatan bersenjata dalam urusan awam sejak Encik Prabowo Subianto mengambil alih jawatan sebagai presiden negara itu.

Encik Prabowo, yang juga mantan Menteri Pertahanan dan komander pasukan khas, memperluaskan peranan ketenteraan yang berpengaruh dalam urusan sivik sejak beliau memegang jawatan tahun lalu – termasuk mengendalikan sebahagian besar daripada projek utama beliau untuk menyediakan makanan percuma di sekolah.

Pada Mac lalu, parlimen Indonesia – yang dikuasai gabungan Encik Prabowo – turut meluluskan pindaan terhadap undang-undang ketenteraan yang membenarkan lebih banyak jawatan awam disandang oleh anggota tentera, mencetuskan bantahan daripada kumpulan pelajar dan aktivis.

Langkah-langkah itu menghapuskan sebahagian daripada kawal selia yang diperkenalkan selepas kejatuhan pemimpin kuku besi Suharto pada 1998 dan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan kembalinya era di mana angkatan tentera dibenarkan menindas bantahan dan menguasai ruang awam.

Menteri Pertahanan Sjafrie Sjamsoeddin pada lewat Selasa menandatangani satu perjanjian dengan agensi makanan dan ubat-ubatan bagi membolehkan makmal yang dikendalikan oleh tentera darat, laut dan udara, yang sebelum ini membekalkan ubat bagi anggota tentera, untuk mula menghasilkan ubat-ubatan untuk kegunaan awam.

“Kami sedang memikirkan cara untuk menurunkan harga lebih rendah lagi supaya kami dapat menyediakan ubat-ubatan secara percuma,” kata Encik Sjafrie kepada para wartawan.

Pengeluaran secara besar-besaran akan dimulakan pada Oktober dan ubat-ubatan tersebut akan diedarkan ke kampung-kampung di seluruh Indonesia pada harga 50 peratus lebih rendah daripada harga runcit, tambah Encik Sjafrie.

Pelibatan tentera dijangka dapat mengekang aliran ubat-ubatan haram dan memerangi “mafia” dalam industri perubatan, kata ketua agensi ubat-ubatan, Taruna Ikrar.

Namun kumpulan hak asasi menyatakan bahawa perjanjian itu menyalahi undang-undang kerana ia melibatkan pegawai tentera yang sedang berkhidmat dalam jawatan perniagaan awam – sesuatu yang dilarang di bawah undang-undang ketenteraan.

“Ini adalah petanda bagaimana pemerintah kini bergerak ke arah autoritarianisme,” kata Encik Usman Hamid dari Amnesty International Indonesia.

Angkatan tentera dan pejabat Presiden Prabowo belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen.

Ubat-ubatan tersebut akan diedarkan melalui 80,000 koperasi yang disokong pemerintah yang dilancarkan oleh Encik Prabowo pada Isnin, kata Encik Sjafrie.

Koperasi-koperasi Encik Prabowo ditubuhkan bagi merancakkan aktiviti ekonomi dan menghapuskan peranan orang tengah dengan menyediakan perkhidmatan secara langsung kepada orang ramai termasuk pemberian pinjaman, serta penjualan ubat-ubatan dan makanan asas.

Menteri pertahanan Indonesia juga sudah menandatangani satu lagi perjanjian dengan kementerian kesihatan untuk membina hospital yang akan dikendalikan oleh doktor dan jururawat tentera di kawasan-kawasan konflik, termasuk di wilayah Papua, yang selama beberapa dekad menyaksikan pemberontakan tahap rendah bagi menuntut kemerdekaan.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita