Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Perak negeri pertama angkat sumpah Menteri Besar selepas PRU15 M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
IPOH: Perak menjadi negeri pertama yang menteri besarnya mengangkat sumpah selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Malaysia pada Sabtu (19 Nov).

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan supaya Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Tampan ,Saarani Mohamad, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar pukul 5.40 petang Isnin (21 Nov).

Selain Perlis dan Pahang, Perak merupakan negeri ketiga yang melaksanakan Pilihan Raya Umum di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

DUN Perak mempunyai 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan memerlukan sokongan 30 ADUN bagi mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Pada PRU15, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 26 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing mendapat 24 dan sembilan kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri baru di Perak.

Kerajaan Perak sebelum ini dibentuk dengan gabungan tiga parti iaitu BN, Bersatu dan PAS.

Mengulas mengenai jajaran baru politik negeri membabitkan BN dan PH ini, Pensyarah Jabatan Sejarah, Fakuliti Sains Kemanusiaan Prof Dr. Ishak Saat berkata pembentukan kerajaan Perak itu menunjukkan satu perkembangan politik, apabila parti yang berbeza berlapang dada untuk bersama-sama mentadbir walaupun berlainan ideologi dan prinsip, semasa tempoh berkempen.

“Parti kena berkompromi menubuhkan kerajaan dari segi suasana politik dan ekonomi negara. Tiada masalah sebenarnya kerana mereka perlu mengambil langkah seterusnya, selepas tiada yang memperoleh majoriti pada PRU15 dan rakyat perlu menerimanya demi negara.

“Perak memerlukan 30 kerusi DUN bagi membentuk kerajaan negeri tetapi melalui gabungan BN dan PH mereka mendapat majoriti 33 kerusi, iaitu lebih dari sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Ishak berkata sehubungan itu, rakyat harus menerima keputusan itu kerana diberi perkenan oleh Sultan Nazrin Shah, yang dengan bijaksana membuat keputusan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak demi kestabilan ekonomi dan perpaduan rakyat.

Encik Saarani, Pengerusi BN Perak dan Pengerusi UMNO Perak merupakan ADUN Kota Tampan sejak 2004 dan pertama kali dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 10 Dis 2020.

Pada PRU15, Encik Saarani mendapat 5,468 undi menewaskan Mohd Jamil Yahya (Perikatan Nasional) dan Mohd Sabri Abdul Manaf (PH).

Encik Saarani pernah berkhidmat sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak dari tahun 2018 hingga 2020.

Antara pencapaiannya sebelum ini ialah membuat langkah yang mengejutkan banyak pihak, apabila mengumumkan peruntukan sama rata kepada semua 59 ADUN kerajaan dan juga pembangkang pada Disember 2020.

Peruntukan sebanyak RM200,000 (S$59,978) kepada setiap ADUN itu, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di Perak.

Manakala pada Mac tahun lalu, beliau mengumumkan Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030, yang antara lain akan dijadikan asas memandu arah jentera kerajaan dalam pembangunan negeri sepanjang tempoh sepuluh tahun akan datang.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan