Skip to main content

Dunia

Perak bentang Rang Undang-Undang larang ADUN lompat parti

Anggaran Waktu Membaca:
Perak bentang Rang Undang-Undang larang ADUN lompat parti
Diterbitkan : 28 Dec 2022 11:23PM Dikemas Kini : 28 Dec 2022 11:26PM
IPOH: Tarikh permulaan kuat kuasa Akta A1663, iaitu berkaitan larangan pertukaran parti politik bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak adalah pada 8 Disember lalu, kata Menteri Besar, Saarani Mohamad.

Beliau memberitahu demikian ketika bacaan kali kedua Pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2022 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Rabu (28 Dis).

Bacaan kali kedua RUU itu disokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Pengkalan Baru, Azman Noh, seperti dinukil daripada BH Online.

Encik Saarani (BN-Kota Tampan) berkata, tarikh permulaan kuat kuasa Akta A1663 atau Akta Perlembagaan (Pindaan)(No.3) 2022 di Perak oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dibuat dengan persetujuan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Penetapan tarikh permulaan kuat kuasa Akta A1663 pada Perak oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Paduka Seri Sultan Perak ini dibuat dan Akta A1663 sudahpun berkuat kuasa pemakaiannya di Perak pada 8 Disember 2022 melalui Warta No. P.U. (B) 596 yang disiarkan dalam Warta Kerajaan Persekutuan," katanya.

Encik Saarani berkata, RUU bagi meminda beberapa perkara di Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan itu supaya selaras dengan peruntukan Seksyen 7A, Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta A1663.

Katanya, pendekatan Parlimen adalah dengan mengadakan peruntukan larangan pertukaran parti politik melalui pindaan pada Seksyen 7A, Jadual Kelapan, Perlembagaan Persekutuan.

Ia perlu diikuti dengan pindaan sewajarnya kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing terlebih dahulu sebelum peruntukan terbabit boleh mula berkuat kuasa, lapor BH Online.

"Di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, peruntukan-peruntukan yang ada dalam Jadual Kelapan dikategorikan sebagai 'peruntukan-peruntukan perlu' yang bermakna sebarang peruntukan yang ada dalam Jadual Kelapan wajib diadakan juga dalam Undang- Undang Tubuh Kerajaan Negeri," katanya.

Pada 28 Julai lalu, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 yang melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dengan sokongan 209 Ahli Dewan Rakyat seterusnya diluluskan oleh Dewan Negara pada 9 Ogos lalu dengan sokongan majoriti 52 Senator.

Akta itu seterusnya diwartakan pada 6 September lalu dan mendapat perkenan Al-Sultan Abdullah bagi tarikh kuat kuasanya pada pada 5 Oktober, seterusnya terpakai kepada Ahli-ahli Parlimen Malaysia.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita