Skip to main content

Dunia

Perak akan wujudkan pusat vaksin bergerak untuk ke perkampungan Orang Asli

Perak akan mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak khusus untuk masyarakat Orang Asli di negeri itu, bertujuan memudahkan mereka yang tinggal jauh di pedalaman seperti di Hulu Perak mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
Perak akan wujudkan pusat vaksin bergerak untuk ke perkampungan Orang Asli

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 17 Mar 2021 09:26PM Dikemas Kini : 17 Mar 2021 09:30PM

IPOH: Perak akan mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak khusus untuk masyarakat Orang Asli di negeri itu, bertujuan memudahkan mereka yang tinggal jauh di pedalaman seperti di Hulu Perak mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

Menteri Besar Saarani Mohamad berkata ini kerana kerajaan negeri sedar golongan tersebut sukar untuk keluar ke kawasan bandar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 berikutan tiada pengangkutan serta pelbagai halangan lain.

“PPV bergerak ini akan masuk ke kawasan mereka bagi membolehkan mereka menerima suntikan vaksin itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran logo Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak yang turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin di Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini (17 Mac).

Sementara itu, beliau berkata hasil perbincangan pihaknya dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin pada Selasa (16 Mac), kerajaan negeri akan mengenal pasti premis bersesuaian untuk dijadikan PPV.

"Kami telah mengenal pasti kira-kira 31 PPV yang akan diwujudkan bagi pemberian vaksin COVID-19 kepada orang ramai untuk fasa kedua dan seterusnya, bagaimanapun menteri (Khairy) berkata penambahan 31 PPV tidak mencukupi kerana pemberian vaksin kepada rakyat perlu diselesaikan pada tahun ini juga.

“Sehubungan itu kami akan mencari lagi mana-mana tempat yang bersesuaian seperti di dewan yang terdapat di institusi pendidikan tinggi," katanya.

Pada Selasa, Encik Khairy dilaporkan berkata PPV berskala besar akan diwujudkan di semua negeri dengan pemberian vaksin kepada kira-kira 8,000 orang sehari dan pihaknya sedang merangka strategi serta penyediaan peruntukan bagi tujuan itu.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita