'Perabot banjir' semurah RM10 dilelong di Kota Tinggi
Banjir yang melanda di Johor memaksa peniaga perabot melelong pelbagai barangan isi rumah dan perabot dengan harga murah serendah RM10 (S$3.28).
(Gambar: Bernama)
KOTA TINGGI: Banjir yang melanda di Johor memaksa peniaga perabot melelong pelbagai barangan isi rumah dan perabot dengan harga murah serendah RM10 (S$3.28).
Seorang peniaga, Eng Nyok Peng, 52, berkata langkah itu terpaksa diambil kerana rata-rata perabot di premisnya ditelenggami banjir selepas hujan lebat sejak Jumaat lalu.
“Saya tiada pilihan lain….daripada tidak dapat apa -apa (rugi), baiklah barangan ini dijual dengan harga murah,” katanya ketika ditemui Bernama.
Katanya lagi, disebabkan banjir, banyak barangan perniagaannya terjejas hingga mengakibatkan kerugian antara RM70,000 (S$22,985) hingga RM80,000 (S$22,268).
Menurut Encik Eng, antara perabot yang dilelong murah di premisnya termasuk kerusi, katil, almari kasut, almari baju dan rak televisyen.
“Saya jual murah...RM10 ada, RM50 (S$16.42) ada dan lain-lain. Mungkin sampai sebulan saya akan jual barang-barang ini (dengan harga diskaun),” kata Encik Eng yang sudah sembilan tahun berniaga di bandar itu.
Seorang pengunjung, Rizuan Mat Seman, 25, berkata beliau teruja untuk membeli ‘perabot banjir’ yang dilelong itu, sekiranya harganya berpatutan dan kerosakannya tidak teruk.
"Saya datang untuk tengok-tengok dahulu mana barangan yang masih boleh dipakai. Harga di sini pun murah dan berpatutan jadi saya sedikit teruja," katanya yang mendapat tahu mengenai penjualan tersebut daripada media sosial dan rakan-rakan.
Bagi Noratikah Zahid, 31, pula jualan lelong itu merupakan peluang untuk orang ramai mendapatkan perabot baru, terutama selepas kediaman masing-masing turut dilanda banjir.
"Rumah kami turut dilanda banjir hingga menyebabkan beberapa perabot rosak. Jadi apabila ada penjualan murah seperti ini, dapatlah kami ganti mana yang patut," katanya yang juga menjalankan perniagaan bersama ibunya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat bandar itu turut mendapati peniaga sedang rancak membersihkan premis mereka daripada kesan lumpur akibat banjir sebelum memulakan kembali operasi perniagaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.