Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyokong Ustaz Abdul Somad tunjuk perasaan di Jakarta, Medan; MFA pantau keadaan

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 May 2022 08:37PM Dikemas Kini : 22 May 2022 01:07AM

SINGAPURA:Pemerintah sedang memantau rapi keadaan di pejabat-pejabat diplomatiknya di Indonesia, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Sabtu (21 Mei).

Ia berikutan tunjuk perasaan yang dilakukan penyokong pendakwah Indonesia Ustaz Abdul Somad (UAS) di depan Kedutaan Singapura di Jakarta dan di Konsulat Agung Singapura di Medan, Sumatera semalam.

Menurut agensi media Detik, bantahan bermula sekitar 2.20 petang waktu tempatan di Kedutaan Singapura di Jakarta dengan penunjuk perasaan membawa bendera Merah Putih serta membahagi-bahagikan risalah mengandungi tuntutan mereka.Antara lain mereka menuntut Singapura meminta maaf dan dutanya meninggalkan Indonesia.

Tunjuk perasaan itu berkaitan keputusan Singapura melarang UAS masuk ke Singapura baru-baru ini.

Kementerian Dalam Negeri (MHA) telah menyatakan pendakwah itu tidak dibenarkan masuk kerana beliau dikenali menyebarkan ajaran bersifat ekstremis dan memecahbelahkan.

Perbuatan sedemikian tidak dapat diterima dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.

Ketua polis daerah Agung Permana dilaporkan berkata 50 pegawai dikerah untuk memastikan bantahan berjalan secara aman.

Tunjuk perasaan di Medan lebih besar lagi. Mediacorp difahamkan bahawa penunjuk perasaan berkumpul di masjid sebelum berarak ke Konsulat Agung Singapura, menuntut Singapura dipertanggungjawabkan kerana "mengusir" UAS.

Beberapa penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan mesej "pulaukan produk Singapura" dan "usir duta Singapura".

Mediacorp difahamkan, atas permintaan penunjuk perasaan, Konsul Agung Singapura di Medan, Richard Grosse mengadakan pertemuan dengan ketua Majlis Ulama Indonesia di Medan, Dr Hassan Maksum. Pertemuan itu diadakan dengan kehadiran polis tanpa berlaku sebarang keadaan tidak diingini.

Merujuk kepada kenyataan MHA pada Selasa, MFA menekankan kemasukan pelawat ke Singapura bukanlah suatu hak seseorang pelawat atau diberi secara automatik.

Pada Rabu, Kementerian Perhubungan dan Penerangan menyatakan akaun media sosial sejumlah penjawat politik dan agensi pemerintah menjadi mangsa 'spam' penyokong UAS.

Kementerian Luar Indonesia menyatakan adalah hak Singapura untuk melarang seseorang masuk ke negaranya.

"Berdasarkan bidang kuasa dan ketentuan hukum yang berlaku di negaranya (Singapura) boleh sahaja tidak menerima seseorang masuk ke wilayah nasionalnya berdasarkan pelbagai pertimbangan yang ditetapkan, dan kita tidak selalu tahu apakah dasar ketetapan tersebut." kata Teuku Faizayah, jurucakap Kementerian Luar Indonesia.

"Indonesia juga sebagai sebuah negara yang berdaulat memiliki kebijakan imigresen yang mana kita boleh sahaja menolak siapapun."

Sumber : BERITA Mediacorp/SU/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan