Penyokong pembaharuan Saudi, Putera Talal bin Abdulaziz, meninggal dunia pada usia 87 tahun
Putera Talal bin Abdulaziz, seorang penyokong tegar proses pembaharuan di Arab Saudi, meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Gambar fail Putera Talal bin Abdulaziz semasa wawancara bersama agensi berita Reuters pada 1998. (Gambar fail: Reuters)
RIYADH: Putera Talal bin Abdulaziz, seorang penyokong tegar proses pembaharuan di Arab Saudi, meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Berita itu diumumkan oleh istana diraja Arab Saudi semalam (22 Dis).
Anggota keluarga mapan al-Saud dan bapa kepada pelabur hartawan, Alwaleed bin Talal, itu uzur sejak beberapa tahun lalu.
Putera Talal dibuang negeri pada tahun 1960an, apabila pihak berkuasa Arab Saudi menarik balik pasportnya selepas beliau mengetuai sekumpulan putera yang menuntut pembaharuan perlembagaan dan bersekutu dengan Presiden Mesir ketika itu, Gamal Abdel Nasser, musuh ketat kerajaan Saudi.
Putera Talal hanya pulang ke Arab Saudi selepas Faisal bin Abdulaziz al-Saud menjadi Raja pada 1964, dan selepas beliau melembutkan retoriknya.
Pada 2011, Putera Talal meletak jawatan daripada Majlis Kesetiaan iaitu badan yang bertanggungjawab menyelia pewarisan takhta diraja di negara pengeksport minyak terbesar dunia itu.
Putera Talal juga menyokong langkah-langkah bagi memberi wanita Arab Saudi lebih banyak hak untuk bekerja serta membenarkan mereka untuk memandu dan menghadkan perbelanjaan besar tentera Riyadh.
Putera Talal dimasukkan ke hospital di Riyadh, namun tidak jelas di mana beliau meninggal dunia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.