Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyokong Najib Razak serah memorandum mohon pengampunan Agong

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Sehari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Najib Razak, penyokongnya pada Rabu (24 Ogos) menyerahkan memorandum memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kira-kira 300 penyokong bekas Perdana Menteri itu diketuai oleh Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia berkumpul di hadapan Istana Negara untuk menyerahkan memorandum berkenaan, menurut Astro AWANI.

Pihak Istana Negara ketika dihubungi mengesahkan menerima memorandum berkenaan, lapor Astro AWANI lagi.

Dalam memorandum itu, pertubuhan berkenaan memohon dua perkara termasuk pengampunan serta-merta diberikan kepada Najib.

Mereka turut memohon beberapa individu penting termasuk Peguam Negara, Idrus Harun; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Azam Baki dan Pengarah Pencegahan Pengubahan Wang Haram untuk menghadap Agong bagi menjelaskan mengenai konflik kepentingan membabitkan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pula mengerakkan petisyen untuk mengumpul tandatangan orang ramai bagi dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong supaya Najib tidak diberi pengampunan.

Dalam tempoh empat jam sahaja, petisyen itu mengumpul lebih 21,000 tandatangan dan Bersih meletakkan sasaran untuk mendapat sekurang-kurangnya 100,000 tandatangan sebelum diserahkan kepada Istana Negara.

Dalam petisyen itu, Bersih memohon Agong supaya tidak menggunakan kuasa bagi mengurniakan pengampunan kepada bekas Perdana Menteri ke atas jenayah yang dilakukannya, demi kepentingan rakyat Malaysia.

"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun. Patik-patik sekalian rakyat memohon limpah perkenan Tuanku agar tidak menggunakan kuasa Tuanku untuk mengurniakan keampunan kepada Najib kerana jenayah terhadap kepentingan rakyat Malaysia sekalian."

"Ampun Tuanku, sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, beliau (Najib) telah disabitkan bersalah menyeleweng dana awam melalui SRC International Sdn Bhd dan telah diberikan proses pengadilan yang seadilnya."

"Sebagai rakyat, patik-patik sekalian berasa sengsara dengan kesan korupsi oleh mereka yang diberi mandat membangun negara ini tetapi sebaliknya memenuhkan tembolok sendiri dengan kekayaan negara," katanya dalam petisyen itu, seperti dinukil daripada Astro AWANI.

Menurut petisyen itu lagi, negara tidak seharusnya bertolak ansur dengan korupsi dengan mana-mana pihak.

"Biarlah Najib menjalani hukuman 12 tahun penjara dan membayar denda RM210 juta untuk dijadikan amaran kepada semua pemimpin yang sangka mereka boleh dengan korup menyalahgunakan kuasa," ujarnya.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan