Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyokong mantan PM Pakistan Imran Khan hentikan sementara bantahan, kata media tempatan

Parti politik mantan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menghentikan buat sementara bantahan besar-besaran di ibu kota Islamabad selepas pasukan keselamatan melakukan serbuan terhadap mereka pada lewat malam Selasa.

Anggaran Waktu Membaca:
ISLAMABAD: Parti politik mantan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan menghentikan buat sementara bantahan besar-besaran di ibu kota Islamabad selepas pasukan keselamatan melakukan serbuan terhadap mereka pada lewat malam Selasa.

Media tempatan mengatakan pada Rabu (27 Nov), ratusan orang ditangkap.

Penyiar Geo News, memetik kenyataan Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), sebagai berkata bahawa parti itu telah mengumumkan "penggantungan sementara" bantahan itu, di mana sekurang-kurangnya enam orang, termasuk empat askar separa tentera dan dua penunjuk perasaan, terbunuh.

Jurucakap PTI tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

Beribu-ribu penunjuk perasaan telah membanjiri Islamabad pada Selasa selepas konvoi, yang diketuai oleh isteri Khan, Bushra Bibi, merempuh beberapa barisan keselamatan sehingga ke pinggir zon merah yang menempatkan bangunan parlimen, pejabat pemerintah penting, serta kedutaan asing.

Geo News dan penyiar ARY kedua-duanya melaporkan bahawa serbuan besar-besaran telah dilancarkan oleh pasukan keselamatan di pusat Islamabad yang gelap gelita, di mana lampu telah dipadamkan dan gas pemedih mata dilepaskan.

Pada pagi Rabu, pekerja bandar membersihkan serpihan dan memindahkan beberapa kontena penghantaran yang menghalang jalan di sekitar ibu kota. Zon merah yang dkawal ketat itu sepi tanpa penunjuk perasaan tetapi beberapa kenderaan mereka ditinggalkan.

PTI telah merancang untuk mengadakan aksi bantahan di zon merah sehingga Khan, yang telah dipenjarakan sejak Ogos tahun lalu, dibebaskan.

Presiden PTI untuk bandar Peshawar di kubu utara parti itu di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, berkata parti tersebut telah membatalkan bantahan tersebut.

"Kami akan lakarkan strategi baharu selepas perundingan yang betul," kata Mohammad Asim kepada Reuters.

Beliau berkata bahawa Bushra Bibi serta Ketua Menteri Khyber Pakhtunkhwa Ali Amin Gandapur, sekutu utama Khan, telah pulang "dengan selamat" ke wilayah itu dari ibu kota.
Sumber : Reuters/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan