Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyokong & anggota DAP wajar undi calon UMNO, kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP

Anggaran Waktu Membaca:
KULAI: Semua anggota dan penyokong DAP di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, wajar memberi sokongan dan undi kepada calon UMNO demi masa depan yang baik untuk negara.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Teo Nie Ching berkata mereka perlu mengetepikan sebarang perbezaan yang mungkin wujud sebelum ini bagi memastikan kestabilan politik di peringkat pusat dan juga negeri.

"Sekarang kami duduk dalam kerajaan perpaduan, jadi semua parti politik kerajaan yang bertanding dalam PRN perlu menang untuk pastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan.'

"DAP pasti mahu memenangi semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi, dan kami juga berharap rakan komponen seperti PKR, Amanah dan UMNO turut menang di kawasan mereka."

"Mandat daripada rakyat adalah penting, jadi sekiranya semua parti politik dalam kerajaan perpaduan boleh menang besar, ini adalah satu tanda bahawa rakyat yakin dengan kemampuan dan pencapaian kami," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Larian Amal Putra IOI di Kulai pada Sabtu (21 Mei).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia yang juga Naib Pengerusi DAP Johor itu berkata, pihaknya akan terus menyantuni pengundi daripada pelbagai latar belakang seperti yang dilakukan sejak dahulu.

Beliau meminta sokongan diberi kepada calon-calon UMNO dalam PRN akan datang bagi mengelak kemenangan kepada pembangkang.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Ahmad Maslan dilapor berkata pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi PRN diminta memangkah calon DAP di kawasan masing-masing demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan