Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyiasat percaya sistem kawalan pesawat dihidupkan sebelum nahas 737 MAX di Habsyah

Dapatan awal siasatan ke atas nahas Boeing 737 MAX di Habsyah yang mengorbankan 157 orang menunjukkan bahawa sistem 'anti-stall' yang mencegah pesawat daripada kehilangan daya angkatnya, dihidupkan sebelum pesawat itu terhempas. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penyiasat percaya sistem kawalan pesawat dihidupkan sebelum nahas 737 MAX di Habsyah

Enjin pesawat ET302 yang terhempas berdekatan kota Bishoftu. (Gambar fail: Tiksa Negeri/Reuters)

Diterbitkan : 29 Mar 2019 08:26PM Dikemas Kini : 29 Mar 2019 08:29PM

WASHINGTON: Dapatan awal siasatan ke atas nahas Boeing 737 MAX di Habsyah yang mengorbankan 157 orang menunjukkan bahawa sistem 'anti-stall' yang mencegah pesawat daripada kehilangan daya angkatnya, dihidupkan sebelum pesawat itu terhempas, menurut laporan Wall Street Journal pada Jumaat, menukil beberapa pihak yang diberi taklimat tentang hal itu.

Para penyiasat keselamatan Amerika Syarikat sudah menyemak data daripada kotak-kotak hitam penerbangan Ethiopian Airlines 302, kata empat orang yang diberi taklimat tentang siasatan itu kepada Reuters pada Khamis. Satu laporan awal dijangka akan dikeluarkan seawal minggu depan, menurut para pegawai Amerika Syarikat itu.

Pesawat berkenaan terhempas 10 Mac sejurus berlepas dari Addis Ababa.

Para penyiasat ke atas nahas 737 MAX di Indonesia pada Oktober juga memberi tumpuan kepada sistem 'anti-stall' baru, yang dipanggil MCAS. Boeing pada Rabu menyatakan pihaknya merancang satu penambaikan perisian yang menjadi tumpuan utama keprihatinan keselamatan.

Pesawat 737 MAX paling laris keluaran Boeing dengan tempahan bernilai lebih AS$500 bilion, digantung operasinya merata dunia oleh Pentadbir Penerbangan Federal (FAA). Syarikat-syarikat penerbangan masih boleh menerbangkannya tanpa penumpang, untuk memindahkannya dari satu lapangan ke satu lapangan terbang yang lain.

Pengeluar pesawat itu menyatakan bahawa pihaknya sudah menghasilkan pakej latihan yang perlu dilalui para juruterbang 737 MAX sebelum penggantungan sedunia itu boleh ditarik balik. Mereka menyarankan bahawa para juruterbang tidak perlu menjalani latihan simulator penerbangan untuk mengendalikan pesawat itu dengan selamat.

Pada Khamis, satu tindakan undang-undang terhadap Boeing difailkan di mahkamah federal Chicago oleh keluarga Jackson Musoni. Warga Rwanda itu ialah salah seorang yang terkorban dalam nahas Ethiopian Airlines.

Tindakan guaman itu mendakwa sistem kawalan penerbangan automatik itu tidak direka dengan sempurna oleh Boeing. Syarikat itu menyatakan pihaknya tidak dapat memberi komen tentang tindakan guaman itu.

Jumlah dan mutu latihan yang disediakan oleh Boeing dan syarikat-syarikat penerbangan kepada para juruterbang 737 MAX juga merupakan salah satu isu yang sedang disiasat bagi menentukan punca dua nahas 737 MAX dalam tempoh lima bulan.

Sumber : Reuters/TQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan