Penyiasat beri amaran terhadap bahan api masih dalam pesawat Air Busan

Datuk Bandar Busan Park Heong-joon dan beberapa pegawai lain melawat tempat kejadian, di mana sebuah pesawat Air Busan terbakar di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae di Busan, Korea Selatan pada 29 Jan 2025. (Gambar: Son Hyung-joo/Yonhap melalui AP)
Pihak berkuasa pada Jumaat (31 Jan) menjalankan penilaian pengurusan risiko sebelum siasatan penuh ke atas pesawat Airbus A321ceo dijalankan, dengan bangkai pesawat malang itu masih berada di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhar di Busan.
Kebakaran itu meletus pada kira-kira pukul 10.15 malam pada Selasa sedang pesawat berkenaan bersiap sedia untuk berlepas ke Hong Kong. Ia pertama dikesan oleh seorang anak kapal di dalam kompartmen bagasi kabin di sebelah kiri belakang pesawat itu, menurut seorang jurucakap Air Busan kepada Reuters pada Jumaat (31 Jan).
Kesemua 169 penumpang dan tujuh anak kapal berjaya diselamatkan dengan menggunakan gelongsor kecemasan selepas kebakaran itu tercetus, dengan hanya sebilangan daripada mereka mengalami kecederaan ringan, menurut Air Busan.
Insiden itu berlaku sebulan selepas nahas udara paling dahsyat di Korea Selatan apabila pesawat Jeju Air terhempas di landasan Lapangan Terbang Muan sedang ia mendarat tanpa roda, mengorbankan kesemua kecuali dua daripada 181 yang berada dalam pesawat berkenaan.
Pesawat berkenaan masih mengandungi kira-kira 16,280kg bahan api jet dan bahan berbahaya lain seperti tangki oksigen, jelas Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan pada Khamis (30 Jan).
Pihak berkuasa perlu memutuskan sama ada bahan api itu harus dikeluarkan sebelum siasatan penuh boleh dijalankan, menurut kementerian itu.
Lembaga Siasatan Kemalangan Penerbangan dan Kereta Api Korea Selatan menerajui siasatan itu, dan ia turut disertai pada Khamis oleh wakil-wakil agensi sasatan nahas udara BEA Perancis. Perancis adalah negara yang bertanggungjawab atas reka bentuk pesawat Airbus.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.