Skip to main content

Dunia

Penyertaan Timor-Leste perkukuh Visi Masyarakat ASEAN 2045: PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Penyertaan Timor-Leste perkukuh Visi Masyarakat ASEAN 2045: PM Anwar

 Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 26 Oct 2025 01:56PM Dikemas Kini : 26 Oct 2025 01:57PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão menyifatkan penyertaan negara itu ke dalam ASEAN sebagai impian yang direalisasikan dan penegasan kukuh tentang perjalanan rakyatnya yang ditempuhi dengan ketabahan, keazaman dan harapan.

Berucap di majlis menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Sidang Puncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Ahad (26 Okt), Encik Gusmão berkata pencapaian itu juga mengesahkan visi ASEAN tentang sebuah keluarga negara yang benar-benar bersatu yang terikat dengan nilai dan aspirasi bersama serta masa depan yang dibina secara kolektif.

“Hari ini, sejarah tercipta. Timor-Leste diterima sebagai negara anggota ASEAN ke-11. Bagi rakyat Timor-Leste, ini bukan sahaja impian yang direalisasikan, tetapi penegasan yang kuat tentang perjalanan kami, yang ditandai dengan ketabahan, keazaman dan harapan.

“Bagi ASEAN, ia adalah penerusan visi, sebuah keluarga negara yang benar-benar bersatu, diikat bersama oleh nilai bersama, aspirasi bersama dan masa depan yang dibina secara kolektif,” katanya.

Encik Gusmão menzahirkan rasa terima kasih yang mendalam kepada semua negara anggota ASEAN, Pengerusi ASEAN dan Sekretariat ASEAN atas kepercayaan, galakan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan panjang bagi mencapai matlamat Timor-Leste untuk menjadi anggota blok itu.

Beliau berkata pihaknya memohon keanggotaan ASEAN sejak 2011 dan menyediakan institusi, memperbaharui dasar dan mengukuhkan kesediaan mereka berpandukan kebijaksanaan, sokongan dan kesabaran ASEAN serta rakan-rakan kongsinya

“Penyertaan Timor-Leste adalah bukti semangat rakyatnya, demokrasi muda, lahir daripada perjuangan, kini mengharungi era baharu kerjasama dan pertumbuhan dalam satu daripada rantau paling dinamik di dunia.

“Timor-Leste menyertai ASEAN dengan merendah diri dan rasa bangga, memeluk sepenuhnya nilai teras blok itu iaitu saling menghormati, kerjasama aman, perpaduan dalam kepelbagaian dan perpaduan serantau,” katanya lagi.

Beliau berkata Timor-Leste memasuki ASEAN dengan komitmen penuh terhadap piagamnya, bersedia untuk menjadi ahli yang membina, aman dan berbakti.

“Kami berjanji untuk bekerjasama dengan semua negara anggota untuk memastikan rantau kita aman, terbuka dan makmur, dan menjadi sebahagian daripada usaha membina daya tahan, memperkukuh perpaduan dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan," katanya sambil menambah, keahlian ASEAN membawa prospek yang besar dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan ekonomi digital.

Encik Gusmão berkata pihaknya bersedia untuk belajar, berinovasi dan mengamalkan tadbir urus yang baik,selain mengukuhkan institusi untuk bersama-sama menuju ke arah pembangunan mampan.

Beliau menekankan bahawa perjalanan ASEAN negara itu bukanlah penamat sebaliknya suatu permulaan lembaran baharu.

“Bersama-sama, kita akan memajukan Visi Masyarakat ASEAN 2045 (iaitu) ASEAN yang aman, makmur, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat, dengan Timor-Leste sebagai penyumbang aktif,” tambahnya.

Timor-Leste pada Ahad (26 Okt) secara rasmi menjadi negara anggota ke-11 ASEAN, menandakan satu kejayaan bersejarah bagi negara muda itu serta blok serantau berkenaan.

Penyertaan itu dimeterai dengan Encik Gusmão menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, disaksikan oleh para pemimpin ASEAN termasuk Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita