Skip to main content

Dunia

Penyertaan dalam ASEAN realisasikan impian rakyat: PM Timor-Leste

Anggaran Waktu Membaca:
Penyertaan dalam ASEAN realisasikan impian rakyat: PM Timor-Leste

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim (kedua dari kiri) menyerahkan deklarasi yang ditandatangani kepada Setiausaha Agung ASEAN, Kao Kim Horn selepas Timor-Leste menyertai Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) semasa Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada 26 Okt 2025. (Gambar: CNA/Zamzahuri Abas)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Timor-Leste, Kay Rala Xanana Gusmão, menyifatkan penyertaan negara itu ke dalam ASEAN sebagai impian yang direalisasikan dan penegasan kukuh tentang perjalanan rakyatnya yang ditempuhi dengan ketabahan, keazaman dan harapan.

Berucap pada majlis menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Sidang Puncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Ahad (26 Okt), Encik Gusmão berkata pencapaian itu juga mengesahkan visi ASEAN tentang sebuah keluarga negara yang benar-benar bersatu yang terikat dengan nilai dan aspirasi bersama serta masa depan yang dibina secara kolektif.

“Hari ini, sejarah tercipta. Timor-Leste telah diterima sebagai negara anggota ASEAN ke-11. Bagi rakyat Timor-Leste, ini bukan sahaja impian yang direalisasikan, tetapi penegasan yang kukuh tentang perjalanan kami, yang ditandai dengan ketabahan, keazaman dan harapan.

“Bagi ASEAN, ia adalah penerusan visi, sebuah keluarga negara yang benar-benar bersatu, diikat bersama oleh nilai bersama, aspirasi bersama dan masa depan yang dibina secara kolektif,” katanya.

Encik Gusmão menzahirkan rasa terima kasih yang mendalam kepada semua negara anggota ASEAN, Pengerusi ASEAN dan Sekretariat ASEAN atas kepercayaan, galakan dan solidariti yang tidak berbelah bahagi sepanjang perjalanan panjang bagi mencapai matlamat Timor-Leste untuk menjadi anggota perkumpulan itu.

Beliau berkata pihaknya sudah memohon keanggotaan ASEAN sejak 2011 dan menyediakan institusi, memperbaharui dasar dan mengukuhkan kesediaan mereka berpandukan kebijaksanaan, sokongan dan kesabaran ASEAN serta rakan kongsinya

“Penyertaan Timor-Leste adalah bukti semangat rakyatnya, demokrasi muda, lahir daripada perjuangan, kini mengharungi era baharu kerjasama dan pertumbuhan dalam satu daripada rantau paling dinamik di dunia.

“Timor-Leste menyertai ASEAN dengan rendah diri dan rasa bangga, mendakap sepenuhnya nilai teras perkumpulan itu iaitu saling menghormati, kerjasama aman, perpaduan dalam kepelbagaian dan perpaduan serantau,” katanya.

Beliau berkata Timor-Leste memasuki ASEAN dengan komitmen penuh terhadap piagamnya, bersedia untuk menjadi ahli yang membina, aman dan berbakti.

“Kami berjanji untuk bekerjasama dengan semua negara anggota untuk memastikan rantau kita aman, terbuka dan makmur, dan menjadi sebahagian daripada usaha membina daya tahan, memperkukuh perpaduan dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan," katanya sambil menambah keahlian ASEAN membawa prospek yang besar dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan ekonomi digital.

Encik Gusmão berkata pihaknya bersedia untuk belajar, berinovasi dan mengamalkan tadbir urus yang baik selain mengukuhkan institusi untuk bersama-sama menuju ke arah pembangunan mampan.

Beliau menekankan bahawa perjalanan ASEAN negara itu bukanlah penamat sebaliknya suatu permulaan lembaran baharu.

“Bersama-sama, kita akan memajukan Visi Masyarakat ASEAN 2045 (iaitu) ASEAN yang aman, makmur, berdaya tahan dan berpaksikan rakyat, dengan Timor-Leste sebagai penyumbang aktif,” tambahnya.

Timor-Leste pada Ahad secara rasmi menjadi negara anggota ke-11 ASEAN, menandakan satu kejayaan bersejarah bagi negara muda itu serta perkumpulan serantau berkenaan.

Penyertaan itu dimeterai dengan Gusmão menandatangani Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN, disaksikan oleh pemimpin ASEAN termasuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita