Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyerang suami Speaker AS Nancy Pelosi didakwa dengan beberapa tuduhan termasuk percubaan membunuh

Anggaran Waktu Membaca:
Penyerang suami Speaker AS Nancy Pelosi didakwa dengan beberapa tuduhan termasuk percubaan membunuh

Keadaan di hadapan kediaman Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi susuli serangan terhadap suaminya pada 28 Oktober 2022. (Gambar: Justin Sullivan / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images menerusi AFP)

SAN FRANCISCO: Lelaki yang menyerang suami Speaker Dewan Perwakilan Nancy Pelosi di kepala dengan tukul besi selepas memecah masuk kediaman pasangan itu di San Francisco, berdepan dengan beberapa tuduhan termasuk percubaan membunuh pada Sabtu (29 Okt).
Polis masih belum mendedahkan motif di sebalik serangan ke atas Paul Pelosi, 82 tahun, pada Jumaat (28 Okt).

Menurut pejabat Cik Pelosi, suaminya sudah menjalani pembedahan pada bahagian tengkoraknya yang mengalami keretakan tulang dan kecederaan di tangan serta lengan kanannya.

Para doktor menjangkakan suami Cik Pelosi akan pulih sepenuhnya.

Presiden Joe Biden memberitahu para wartawan di Delaware pada Sabtu (29 Okt) bahawa serangan itu kelihatan seolah-olah "menyasarkan" Cik Pelosi.
Insiden itu secara tidak langsung mencetuskan kebimbangan terhadap keganasan politik, kurang dua minggu sebelum pilihan raya pertengahan penggal bakal berlangsung pada 8 Nov dengan Dewan Perwakilan dan Senat menjadi pertaruhan.

Polis mengenal pasti identiti lelaki yang diberkas di tempat kejadian sebagai David DePape, yang berusia 42 tahun.

Dia juga dibawa ke hospital San Francisco. Namun, tidak jelas sama ada dia dibawa ke hospital itu bagi rawatan perubatan atau jagaan psikiatrik ataupun kedua-duanya sekali.

Rekod syerif online menunjukkan dia ditahan kerana disyaki cuba membunuh, menyerang dengan senjata berbahaya, mendera warga tua, mencuri, mengugut pegawai awam atau anggota keluarga dan kesalahan-kesalahan lain.

Tuduhan rasmi akan difailkan pada Isnin (31 Okt) dan kesnya dijangka akan dibicarakan pada Selasa (1 Nov), menurut pejabat peguam daerah San Francisco.

Ketua Polis San Francisco William Scott mendedahkan semasa taklimat media pada Jumaat malam bahawa para detektif polis, yang dibantu oleh ejen-ejen FBI, masih belum dapat menentukan apakah yang mencetuskan insiden pecah rumah itu.

Namun, pihaknya yakin bahawa ia bukan perbuatan yang dilakukan secara rambang.
Sumber : Reuters/SS/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan