Skip to main content

Dunia

Penyerang masjid New Zealand akan bersemuka dengan keluarga mangsa

Lelaki warga Australia yang menembak mati 51 orang Islam dalam serangan di dua masjid di New Zealand tahun lalu, akan bersemuka dengan ahli keluarga mangsa dan individu terselamat dalam kejadian itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyerang masjid New Zealand akan bersemuka dengan keluarga mangsa

Seorang jemaah di masjid Al Noor. (Gambar: AFP/Sanka Vidanagama)

Diterbitkan : 21 Aug 2020 04:05PM Dikemas Kini : 21 Aug 2020 04:11PM

WELLINGTON: Lelaki warga Australia yang menembak mati 51 orang Islam dalam serangan di dua masjid di New Zealand tahun lalu, akan bersemuka dengan ahli keluarga mangsa dan individu terselamat dalam kejadian itu.

Brenton Tarrant, 29, bakal berbuat demikian semasa prosiding di mahkamah minggu hadapan. Dia dijangka dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Tertuduh dijangka hadir di mahkmah Christchurch bagi prosiding empat hari mulai Isnin untuk penjatuhan hukuman.

Dia sebelum ini mengaku bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan keganasan.

Ini adalah kali pertama ahli keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang terselamat bersemuka dengan tertuduh sejak kejadian tembakan pada 15 Mac, 2019.

Disebabkan sekatan berkaitan penularan COVID-19, ratusan lagi individu akan mengikuti prosiding itu menerusi penstriman langsung di tujuh kamar mahkamah sedang mereka mematuhi langkah penjarakan fizikal.

Dalam pada itu, ada juga antara mereka yang dibenarkan mengikuti prosiding itu secara dalam talian.

Pada masa sama, sebagian besar daripada lebih 60 individu yang akan memberikan kenyataan impak mangsa melakukan perjalanan dari luar negara bagi prosiding menjatuhkan hukuman.

Mereka sudah menjalani perintah kuarantin selama dua minggu untuk mengikuti prosiding berkenaan.

Sementara itu, polis meningkatkan kawalan keselamatan di sekitar bangunan mahkamah.

Selain itu, terjemahan secara langsung ke dalam lapan bahasa juga disediakan bagi memenuhi keperluan masyarakat Muslim New Zealand yang pelbagai.

Sumber : AFP/EM/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita