Skip to main content

Dunia

Penyelesaian jangka panjang atasi masalah banjir perlu dimulakan segera, tegas Zahid Hamidi

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelesaian jangka panjang atasi masalah banjir perlu dimulakan segera, tegas Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri Malaysia , Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBP Bilangan 3 Tahun 2022 di Perdana Putra. (Gambar: Bernama)

PUTRAJAYA: Usaha penyelesaian jangka panjang dalam menangani masalah banjir di Malaysia perlu dimulakan segera termasuk penyediaan tebatan banjir secara holistik, kata Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Ahmad Zahid Hamidi.

"Penyelesaian jangka panjang perlu dibuat segera supaya biar selebat mana pun hujan, banjir dapat diuruskan dengan baik," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat di Putrajaya pada Selasa (13 Dis).

Beliau berkata biarpun kerajaan dimaklumkan ia akan membabitkan kos yang tersangat besar termasuk projek tebatan banjir bernilai RM15 bilion (S$4 bilion) yang sudah dilaksanakan pentadbiran terdahulu namun apabila siap kelak, ia bakal membabitkan pengurusan banjir sepanjang tempoh sehingga tahun 2100.

"Bagi kawasan yang muka buminya di bawah aras laut, ia hendaklah juga diselesaikan dengan cara jangka panjang kerana masalah banjir termenung ini berlaku di banyak tempat di negara kita.

"Kami telah meminta supaya koordinasi dilakukan dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran agar penyelesaian kepada masalah ini dapat dilakukan dengan segera kerana ia melibatkan berlaku permasalahan pertumbuhan ekonomi dan masalah pencarian kehidupan oleh masyarakat yang terlibat di kawasan banjir termenung berkenaan," katanya.

Encik Ahmad Zahid berkata kerajaan juga akan melibatkan sukarelawan untuk bersama-sama menangani dan membantu pengurusan banjir.

"Kami buat pertama kali menjadikan badan sukarela atau sukarelawan untuk bersama-sama dengan jawatankuasa (bencana pusat) dan kita mahu di peringkat nasional, negeri, daerah dan pusat pemindahan sementara dapat dilibatkan bukan saja mengurangkan beban tugas tapi melihat keberkesanan kepada menyelesaikan masalah-masalah banjir terutama kepada mangsa," katanya.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita