Penyelamat Pakistan bergelut tarik keluar mangsa, sedang hujan monsun ragut lebih 340 nyawa

Seorang penduduk tempatan berjalan melalui serpihan bangunan runtuh pada 17 Ogos 2025 di kejiranan Pir Baba, daerah Buner, Pakistan. (Gambar: AP/Muhammad Sajjad)
Sebahagian besar kematian, iaitu 324 orang, dilaporkan di wilayah pergunungan Khyber Pakhtunkhwa, menurut Penguasa Pengurusan Bencana Kebangsaan.
Kebanyakan mangsa terkorban akibat banjir kilat dan rumah runtuh, manakala sekurang-kurangnya 137 orang lagi cedera.
Seorang penduduk memberitahu AFP bahawa ia terasa seperti “kiamat” apabila tanah bergegar akibat kekuatan air.
Pasukan penyelamat wilayah memberitahu AFP bahawa kira-kira 2,000 anggota penyelamat sedang bertugas untuk mengeluarkan jasad dari runtuhan dan menjalankan operasi bantuan di sembilan daerah, di mana hujan masih menyukarkan usaha.
"Hujan lebat, tanah runtuh di beberapa kawasan, dan jalan yang musnah menyebabkan cabaran besar dalam menghantar bantuan, terutamanya dalam pengangkutan jentera berat dan ambulans," kata jurucakap agensi penyelamat Khyber Pakhtunkhwa, Bilal Ahmed Faizi.
Beliau berkata penutupan jalan memaksa anggota penyelamat berjalan kaki ke beberapa kawasan bencana di wilayah terpencil.
"Mereka sedang cuba memindahkan mangsa yang terselamat, tetapi sangat sedikit yang mahu berpindah kerana kematian saudara-mara atau orang tersayang yang masih terperangkap dalam runtuhan," tambahnya.
Timbalan Pesuruhjaya daerah Buner, Kashif Qayum Khan, turut berkata pasukan penyelamat terpaksa mencari laluan baharu untuk sampai ke kawasan pedalaman.
"Ramai lagi yang mungkin masih terperangkap di bawah runtuhan, yang tidak dapat dialihkan secara manual oleh penduduk tempatan," katanya kepada AFP.
Pemerintah wilayah mengisytiharkan daerah pergunungan Buner, Bajaur, Swat, Shangla, Mansehra dan Battagram sebagai kawasan yang dilanda bencana.
Jabatan kaji cuaca turut mengeluarkan amaran hujan lebat untuk wilayah barat laut Pakistan dan menggesa orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga.
Sebelas lagi orang maut di Kashmir yang ditadbir Pakistan, dan sembilan lagi di wilayah utara Gilgit-Baltistan, menurut pegawai kebangsaan.
Lima orang lagi terbunuh apabila sebuah helikopter pemerintah tempatan terhempas akibat cuaca buruk semasa misi bantuan pada Jumaat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.