Skip to main content

Dunia

Penyelamat Nepal tungkus lumus selamatkan mangsa terperangkap dalam terowong seminggu selepas bencana

Pasukan penyelamat pada Rabu (2 Sep) bertungkus lumus untuk menyelamatkan puluhan pekerja yang dipercayai terperangkap di dalam terowong-terowong loji hidroelektrik di kawasan pergunungan Nepal.

Anggaran Waktu Membaca:
Penyelamat Nepal tungkus lumus selamatkan mangsa terperangkap dalam terowong seminggu selepas bencana

Orang ramai melihat gambar-gambar individu yang hilang yang dipaparkan pada dinding di luar Hospital Pengajar Universiti Tribhuvan, menyusuli kejadian banjir kilat dan tanah runtuh yang membawa maut, di Kathmandu, Nepal, pada 2 September 2026. (Gambar: REUTERS/Athit Perawongmetha)

Diterbitkan : 03 Sep 2026 07:41AM
KATHMANDU: Pasukan penyelamat pada Rabu (2 Sep) bertungkus lumus untuk menyelamatkan puluhan pekerja yang dipercayai terperangkap di dalam terowong-terowong loji hidroelektrik di kawasan pergunungan Nepal. Usaha tersebut menjadi antara harapan terakhir untuk menemui mangsa yang masih hidup, seminggu selepas banjir di Himalaya meragut lebih 1,200 nyawa.

Banjir yang dicetuskan runtuhan glasier berhampiran sempadan Nepal dengan China itu memusnahkan bandar dan lembah di seluruh kawasan pergunungan tersebut. Sekurang-kurangnya 1,204 orang disahkan terkorban, manakala lebih 4,200 lagi masih hilang.

Usaha menyelamat kini semakin tertumpu kepada terowong projek hidroelektrik, di mana pihak berkuasa percaya para pekerja mungkin terselamat selepas terputus hubungan akibat banjir dan timbunan puing.

Sesetengah terowong mempunyai ruang yang mempunyai bekalan udara, dan pasukan penyelamat sedang berusaha untuk mendapatkan akses kepada sekitar 900 pekerja yang masih hilang.

'YAKIN' MASIH ADA YANG HIDUP

"Kami amat yakin masih ada yang hidup di dalam kerana ... terdapat bekalan makanan dan air di bangunan itu, yang berkemungkinan dibina untuk tujuan komunikasi dan sebagai tempat berehat," kata anggota lembaga Penguasa Elektrik Nepal, Amshu Kiran Shahi, kepada Reuters.

Pihak berkuasa menyatakan, peluang untuk menemui mangsa yang masih hidup di kawasan lain semakin tipis. Namun, operasi menyelamat diteruskan tanpa henti, dengan para penyelamat melakukan pencarian di kawasan pergunungan sepanjang sempadan dengan China, di mana banjir melanda bandar dan juga lembah.

"Harapan untuk menemui mangsa yang masih hidup semakin berkurangan," kata pegawai kanan Pusat Operasi Kecemasan Nasional Nepal, Phanindra Paudel. "Kami berdoa dan terus berharap. Harapan tetap harapan."

Perdana Menteri Balendra Shah memberitahu parlimen bahawa usaha mencari akan diteruskan.

"Keutamaan kami tetap jelas: Meneruskan operasi mencari dan menyelamat, mencari mereka yang masih hilang dan terus menyokong semua yang terjejas," kata beliau.

PASUKAN ANTARABANGSA TERLIBAT DALAM USAHA MENYELAMAT

Operasi menyelamat besar-besaran sedang dijalankan atau dirancang di empat projek hidroelektrik. Menurut Encik Shahi, dua lokasi, di mana sekitar 90 orang masih hilang, menawarkan peluang terbaik untuk menemui mangsa yang masih hidup kerana terdapat bekalan udara di dalam terowong.

Di Trishuli-3A, para pegawai percaya terdapat sebuah ruang kering di dalam terowong dan menjangkakan oksigen masih mengalir menerusinya. Paip turut digunakan untuk menyalurkan oksigen ke dalam terowong, kata Encik Shahi.

Pasukan penyelamat khusus dari India, China dan Amerika Syarikat terlibat dalam usaha menyelamat di terowong tersebut.

Di seberang sempadan di Tibet, China menaikkan angka korban kepada 21 orang, manakala 541 lagi masih disenaraikan sebagai hilang.

KANAK-KANAK YANG TERSELAMAT DIBELENGGU KETAKUTAN DAN KERESAHAN

Di Nepal, para penduduk berjalan di sekitar runtuhan kawasan yang dahulunya merupakan kampung-kampung dan bandar-bandar yang sibuk, sambil cuba untuk menyelamatkan apa sahaja barangan milik mereka yang masih boleh ditemui.

"Saya dan suami berjaya menyelamatkan diri. Tetapi kami tidak sempat mengambil apa-apa," kata Shanta Sunar, 45 tahun, seorang pemilik kedai dari Nuwakot. "Kami kehilangan segala-galanya yang kami miliki. Tetapi kami bernasib baik kerana tiada apa-apa berlaku kepada kami."

Kanak-kanak di kawasan Nuwakot dan Rasuwa semakin menunjukkan tanda-tanda tekanan psikologi selepas menyaksikan arus deras banjir pada minggu lalu, menurut Save the Children dalam satu kenyataan.

Ramai daripada mereka menyatakan rasa takut dan cemas selepas menyaksikan pelbagai kejadian mengerikan, termasuk bas sekolah yang penuh dengan rakan-rakan dihanyutkan, rumah mereka ditenggelami air dan segala yang mereka sayangi dibawa arus, menurut kumpulan bantuan tersebut.

Perdana Menteri Shah berkata pemerintah sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik, telekomunikasi dan rangkaian pengangkutan. Sebanyak 95 peratus daripada khidmat telekomunikasi di kawasan terjejas sudah dipulihkan setakat Selasa. Bencana tersebut turut menjejas kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 431 megawatt, kata beliau.

"Ini merupakan antara bencana besar yang pernah dialami tamadun manusia," kata Encik Shah. "Sebaik sahaja maklumat diterima bahawa banjir sedang menghampiri, kakitangan keselamatan kami dikerahkan untuk memberi amaran kepada penduduk setempat. Sebahagian daripada kakitangan itu sendiri kemudian dilaporkan hilang."
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita