Penyelamat Indonesia berdepan kesukaran bantu mangsa di pulau-pulau terpencil
Pasukan-pasukan mencari dan menyelamat Indonesia terus menjalankan usaha untuk menyelamat dan memindahkan para mangsa di pulau-pulau terpencil yang dibadai tsunami baru-baru ini.
CARITA: Pasukan-pasukan mencari dan menyelamat Indonesia terus menjalankan usaha untuk menyelamat dan memindahkan para mangsa di pulau-pulau terpencil yang dibadai tsunami baru-baru ini. Mereka juga terus menyusur ke kawasan-kawasan pedalaman yang memerlukan bantuan.
Agensi pengurusan bencana menyatakan bahawa ia sudah mengerahkan helikopter-helikopter untuk menggugurkan bekalan-bekalan kepada para penduduk di tempat-tempat terpencil di kawasan pantai barat Jawa dan selatan Sumatera.
Beratus-ratus penduduk masih terdampar di pulau-pulau kecil di Selat Sunda, yang memisahkan Jawa dan Sumatera, akan dipindahkan dengan menaiki pesawat atau bot ke pusat-pusat perlindungan sementara, menurut agensi itu.
"Kami sudah mula memasuki tempat-tempat terpencil yang dibadai tsunami," kata Pegawai Kanan Agensi Pengurusan Bencana, Encik Dody Ruswandi.
"Kemusnahan di tempat-tempat itu agak teruk, tetapi kami tidak dapat ke sana pada beberapa hari pertama selepas bencana berlaku."
Beberapa jalan raya dan jambatan berdekatan kawasan-kawasan terpencil rosak, menjadikannya lebih sukar untuk mengakses tempat-tempat seperti itu, tambahnya.
Tsunami melanda pada lewat Sabtu (22 Dis) tanpa amaran, membadai pantai-pantai popular dan membanjiri hotel-hotel para pelancong serta penduduk di kawasan pantai. Ramai terkorban dan cedera.
Angka kematian sejauh ini sekitar 430 orang, dengan 1,485 orang cedera sementara 154 lagi masih dilaporkan hilang.
'RUMAH MUSNAH, MAYAT BERGELIMPANGAN'
Palang Merah Indonesia menyatakan bahawa lebih 400 kakitangan dan sukarelawan sedang memerah keringat bagi memastikan para mangsa mendapat bekalan air bersih, selimut, kain terpal dan bekalan lain, di samping mengerahkan unit-unit perubatannya.
"Pasukan kami melihat sendiri ramai yang terkorban dan kemusnahan yang terjadi. Ramai yang trauma," kata Ketua Pengurusan Bencana PMI, Encik Arifin Hadi.
"Rakyat Indonesia sudah menyaksikan pelbagai bencana alam tahun ini, yang jelas mengakibatkan ramai hidup sengsara."
Jakarta sejauh ini menolak bantuan-bantuan dari pihak luar sambil menyatakan bahawa ia mampu menangani krisis tersebut.
Tsunami terkini merupakan bencana alam teruk ketiga yang melanda Indonesia dalam tempoh enam bulan, menyusuli satu siri gempa bumi kuat yang menggegarkan Lombok pada Julai dan Ogos lalu dan satu lagi gempa-tsunami pada September yang meragut sekitar 2,200 nyawa di Palu, di mana beribu-ribu masih hilang dan dianggap sudah terkorban.
Pada Rabu (26 Dis), beribu-ribu penduduk dijangka memperingati dan menunaikan solat di tanah-tanah perkuburan dan masjid-masjid sempena 14 tahun sejak tsunami yang melanda pada 2004.
Bencana yang berlaku 14 tahun lalu itu merupakan yang paling teruk, di mana 220,000 orang di negara-negara sekitar Lautan Hindi, termasuk sekitar 168,000 rakyat Indonesia, kebanyakannya di Aceh, terkorban.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.