Penyelam remaja yang hilang di Mersing disahkan meninggal dunia
(Gambar: Agensi berita)
MERSING: Penyelam remaja warga Belanda Nathen Renze Chesters, 14 tahun, yang hilang di Pulau Tokong Sanggol pada Rabu lepas (6 Apr) disahkan telah meninggal dunia selepas tidak dapat bertahan akibat terlalu lemah.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata perkara itu disahkan sendiri oleh bapa mangsa Adrian Peter Chesters.
"Pihak Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari remaja terbabit yang dipercayai telah meninggal dunia dan hanyut ke perairan Indonesia," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu (9 Apr).
Beliau berkata APMM sudah pun menamatkan Op Carilamat pada 1.30 tengah hari tadi susulan penemuan tiga daripada empat penyelam yang hilang.
Pada Rabu lepas (6 Apr), empat penyelam warga asing dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman di Mersing.
Bagaimanapun, jurulatih selam warga Norway Kristine Grodem, 35 tahun, ditemukan selamat dalam keadaan terapung lengkap dengan pakaian dan peralatan menyelam oleh sebuah bot tunda yang dalam perjalanan dari Indonesia ke Thailand pada 8.15 pagi Khamis lepas (7 Apr).
Adrian Peters, 46 tahun, yang merupakan warga Britain, dan Alexia Alexandra Molina, 18 tahun, seorang warga Perancis, pula ditemukan selamat oleh nelayan tempatan pada kira-kira 1.00 pagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.