Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyanyi dan komposer Yasin dibebaskan penjara seumur hidup, 16 sebatan

Anggaran Waktu Membaca:
Penyanyi dan komposer Yasin dibebaskan penjara seumur hidup, 16 sebatan

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya membebaskan Muhammad Yasin, 49 tahun, daripada ketiga-tiga pertuduhan pada 29 November, 2023. (Gambar: BERNAMA)

PUTRAJAYA: Penyanyi dan komposer Malaysia Yasin Sulaiman, 50 tahun, dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Rayuan pada Isnin (28 Apr).

Beliau diperintahkan kembali ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak sehingga diperkenankan Sultan Selangor.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan panel hakim diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Collin Lawrence Sequerah dan Azmi Ariffin selepas menerima rayuan akhir yang dimohon Yasin, lapor Astro AWANI.

Keputusan itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas Yasin atau nama sebenarnya, Muhammad Yasin Sulaiman, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya.

Pada 22 Ogos tahun lalu, Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin yang melepas dan membebaskan Yasin.

Bapa kepada dua orang anak itu dilaporkan mengemukakan rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Ogos tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
 
Penyanyi lagu ‘Mimpi Laila’ dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan untuk kesalahan memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram, menurut laporan Astro AWANI.

Bagi kesalahan menanam 17 pokok kanabis dalam pasu plastik, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan enam sebatan manakala untuk kes memberi dirinya dadah berbahaya, dia dihukum penjara 10 bulan.

Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Yasin daripada ketiga-tiga pertuduhan.
Mahkamah sebaliknya memerintahkan penyanyi itu ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia mengikut Seksyen 348(1) Kanun Prosedur Jenayah (KTJ) selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor.

Pihak pendakwaan kemudiannya mengemukakan rayuan terhadap pembebasan itu dan Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan tersebut serta mendapati Muhammad Yasin bersalah atas semua pertuduhan berkenaan, lapor Astro AWANI.
 
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan