Skip to main content

Dunia

Penyampai berita BBC terpalit dengan skandal gambar lucah; disahkan alami masalah mental

Anggaran Waktu Membaca:
LONDON: Seorang personaliti televisyen terkemuka Britain, Huw Edwards, telah dikenal pasti oleh isterinya sebagai penyampai berita BBC yang menghadapi dakwaan membayar seorang anak muda beribu-ribu pound untuk gambar seksual yang eksplisit.

Encik Edwards terlibat dengan liputan berskala besar seperti mengumumkan kemangkatan Ratu Elizabeth II selain termasuk pilihan raya, perkahwinan diraja dan Sukan Olimpik 2012.

Isterinya, Vicky Flind berkata, dia membuat kenyataan itu kerana bimbang terhadap kesihatan mental Encik Edwards dan untuk melindungi anak-anak mereka.

Kata Cik Flind dalam satu kenyataan, Encik Edwards mengalami masalah kesihatan mental yang serius malah telah dirawat kerana kemurungan teruk sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Peristiwa beberapa hari kebelakangan ini telah memburukkan lagi keadaan dan kini dia menerima rawatan di hospital serta akan tinggal di sana pada masa akan datang," katanya.

Cik Flind, pada masa yang sama berharap kenyataan itu akan menamatkan spekulasi media yang telah memberi kesan kepada rakan-rakan Encik Edwards.

Jelasnya lagi, apabila keadaan bertambah baik, Encik Edwards berhasrat untuk menjawab cerita yang diterbitkan itu.

Kisah itu mula bocor pada Jumaat apabila akhbar Sun melaporkan seorang penyampai BBC terkemuka telah membayar seorang individu muda 35,000 pound (S$60,550) untuk gambar eksplisit selama tiga tahun, bermula ketika individu itu berusia 17 tahun.

BBC dalam tindak balasnya menggantung penyampai berkenaan tetapi tidak menamakannya.

BBC mendapat kecaman kerana ia bergelut untuk menyiasat dakwaan terhadap penyampai, melindungi privasi orang itu, bertindak balas secara terbuka terhadap dakwaan itu dan menimbulkan kemarahan penyampai lain yang disyaki.

Umur persetujuan untuk seks di England ialah 16 tahun, tetapi imej seseorang di bawah 18 tahun boleh dianggap sebagai pornografi kanak-kanak.

Polis Metropolitan London memaklumkan pihaknya sudah membuat penilaian terhadap dakwaan itu dan mendapati tiada tanda-tanda kesalahan jenayah dilakukan.

Bagaimanapun, BBC menegaskan, ia akan meneruskan siasatan dalaman terhadap dakwaan itu.

Encik Edwards, yang mempunyai lima anak, sudah bekerja untuk BBC sejak 1984 dan mengemudi buletin utama "BBC News at Ten" selama lebih dua dekad.

Beliau merupakan penyampai berita dengan bayaran tertinggi penyiar, memperoleh pendapatan hingga 439,999 pound (S$761,240).
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita