Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penyakit kaki & mulut dikesan pada lembu Indonesia; kejutan bagi penternak jelang Aidil Adha

Anggaran Waktu Membaca:
Penyakit kaki & mulut dikesan pada lembu Indonesia; kejutan bagi penternak jelang Aidil Adha

Gambar hiasan. (Gambar: Abdurrahman Wahid)

JAKARTA: Penternak lembu Indonesia Dio Nurdin Setiawan, 30 tahun, melihat sesuatu yang janggal pada salah seekor lembunya pada awal Mei. 

Selain demam panas dan selesema, lembu itu bernafas dengan pantas sekali dan tidak mempunyai selera makan. Air liurnya juga berbuih, kata Encik Setiawan, yang menetap di Gresik, Jawa Timur. 

Dalam beberapa hari, lembu-lembu lain juga menunjukkan gejala-gejala yang serupa dan bahagian tapak haiwam-haiwan itu mula melecet dan bernanah, katanya kepada Mediacorp. 

Encik Setiawan yang sudah bekerja sebagai penternak selama tujuh tahun tidak pernah sekali pun melihat lembu-lembunya menderita seperti itu. 

"Pada 5 Mei, para pegawai agensi ternakan datang ke kebun saya dan mendapati bahawa kesemua 20 lembu saya diuji positif bagi penyakit kaki dan mulut (FMD). 

"Penyakit itu merebak dengan pantas, dan oleh itu, setelah satu dijangkiti FMD, yang lain di kandang pun menjangkitinya juga," tambah Encik Setiawan. 

Indonesia diisytiharkan bebas FMD pada 1986. Justeru, apabila para pegawai mengumumkan pada awal Mei bahawa penyakit mudah berjangkit itu sudah merebak dalam kalangan lembu di Jawa Timur, ia dianggap sebagai sesuatu yang mengejutkan.

Sejurus selepas itu, pihak berkuasa menyatakan, sebilangan lembu di Aceh juga dijangkiti FMD. 

Pada 9 Mei, Presiden Joko Widodo memberi arahan kepada menteri pertanian untuk melaksanakan perintah berkurung daerah bagi lembu untuk mencegah penyakit itu daripada merebak ke kawasan lain. 

Beliau juga meminta ketua polis negara supaya memantau dengan teliti pergerakan ternakan dari kawasan-kawasan di mana kes FMD sudah dikesan. 

"Tubuhkan pasukan bertindak, supaya jelas siapa yang menerajui hal ini," kata Encik Jokowi. 

Namun, penyakit itu kemudian merebak ke 16 daripada 34 wilayah, sekali gus menjangkiti sekurang-kurangnya 20,723 lembu setakat 22 Mei. Wilayah-wilayah tersebut mempunyai sebanyak 5.4 juta lembu. 

Para penternak yang lembunya dijangkiti FMD mengalami kerugian kerana mereka terpaksa menyembelih haiwan-haiwan yang dijangkiti itu. Dalam beberapa kes, ada lembu yang mati. 

"Ini adalah kali pertama saya mengalami perkara sebegini," kata Encik Jubairi, seorang pedagang lembu di Pangkal Pinang, wilayah Bangka Belitung, yang sudah berniaga selama 16 tahun. 

Biasanya, beliau boleh menjual sekitar 20 lembu setiap hari dan meraih keuntungan sekitar 20 juta rupiah (S$1,899) setiap hari selama 1.5 bulan menjelang Aidil Adha, di mana harga ternakan itu jauh lebih tinggi. 

"Tetapi sekarang, tidak boleh kerana lembu dikenakan perintah berkurung. Saya pun tidak boleh beli lembu untuk dijual semula, bermakna tiada jual beli yang berlaku. 

"Dan ramai orang sekarang takut nak makan daging," tambahnya. 

Ada juga yang prihatin bahawa bekalan ternakan bagi sambutan Aidil Adha, yang jatuh pada awal Mei tahun ini,  tidak mencukupi. 

"Menurut perkiraan saya, sudah tentu akan terdapat kekurangan lembu pada Aidil Adha, yang akan menaikkan harga haiwan yang akan dikorban itu," kata Encik Nanang Purus Subendro, Ketua Perhimpunan Peternak Sapi dan Kerbau Indonesia (PPSKI).

Majelis Ulama Indonesia mengeluarkan fatwa pada Selasa (31 Mei) yang menyatakan bahawa haiwan-haiwan yang mengalami jangkitan FMD yang ringan boleh disembelih bagi korban Aidil Adha, manakala yang mengalami jangkitan serius dilarang untuk dikorban. 

Fatwa itu menjelaskan bahawa sekiranya haiwan itu mengalami luka melecet yang tidak serius pada bahagian kuku, berasa letih, tidak mempunyai selera makan dan mengeluarkan air liur lebih daripada biasa, ia dianggap sebagai menunjukkan gejala-gejala klinikal ringan FMD. 

Manakala haiwan-haiwan yang mempunyai luka melecet pada bahagian kuku sehinggakan terkopek, menyebabkan ia berjalan tempang dan kelihatan sangat kurus tidak boleh disembelih sempena Aidil Adha. 

Pada masa yang sama, pemerintah juga sedang mempercepatkan proses menghasilkan vaksin FMD untuk membendung penularan penyakit tersebut. Vaksin itu dijangka siap pada Ogos nanti. 

Penternak seperti Encik Setiawan di Gresik berharap pemerintah akan menghulurkan bantuan kepada penternak-penternak sepertinya dan mencegah penularan FMD. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan