Skip to main content

Dunia

Penyakit FOP sebabkan tisu dalam tubuh mengeras seperti batu

Sekitar sejuta orang di dunia alami fibrodysplasia ossificans progressiva (FOP), keadaan baka yang menukar tisu kepada tulang 

Anggaran Waktu Membaca:
Penyakit FOP sebabkan tisu dalam tubuh mengeras seperti batu

Encik Thozi Mciki yang alami keadaan baka FOP (Gambar: Facebook/Rare Diseases South Africa, Vukuhambe Disabled Centre)

Diterbitkan : 30 Oct 2018 03:14PM Dikemas Kini : 30 Oct 2018 03:24PM

CAPE TOWN: Kebanyakan orang akan mengalami kesukaran bergerak apabila usia smakin lanjut.

Namun masalah ini lebih teruk lagi bagi mereka yang mengalami penyakit yang jarang berlaku yang secara perlahan menjadikan otot mereka menjadi tulang.

Laman Daily Mail melaporkan Thozi Mciki, 50 tahun, menghidap fibrodysplasia ossificans progressiva (FOP), yang menyebabkan serpihan tulang tumbuh di otot-otot di seluruh badan.

Pada usia beberapa bulan, beliau mula menunjukkan tanda-tanda penyakit baka ini, yang menjejas sekitar sejuta orang.

Beliau kini sudah kehilangan keupayaan untuk berjalan tanpa bantuan. Tangannya adalah satu-satunya bahagian badan atasnya yang boleh bergerak manakala pinggul dan kakinya kaku hingga hampir tidak boleh bergerak sama sekali.

"Saya berbual dengan orang tentang FOP dan mereka kini tidak lagi takut apabila mereka melihat saya," kongsi Encik Mciki, dari Guguletu, sebuah bandar berhampiran Cape Town di Afrika Selatan.

Lengannya yang kurus kaku di sisi tubuhnya yang bengkok dan beliau terpaksa bergantung pada penjagaan sepenuh masa oleh kakaknya, Gladys.

Encik Mciki yang didiagnos secara rasmi menghidapi FOP ketika beliau berumur tujuh tahun boleh berjalan sendiri hingga 2008 sebelum beliau perlu menggunakan tongkat.

Namun dalam tempoh tiga tahun keadaannya semakin teruk sehinggakan beliau terpaksa menggunakan kerusi roda elektrik sumbangan sebuah badan amal.

Menggunakan kerusi roda tidak kurang masalahnya.

Misalnya, beliau menceritakan bagaimana beliau pernah tersungkur semasa ingin ke tandas.

"Saya dimasukkan ke hospital selama tiga minggu dan tidak dapat merasakan sebahagian muka saya," kongsi Encik Mciki seperti ditukil Daily Mail.

FOP adalah keadaan genetik yang biasanya bermula pada usia awal kanak-kanak, apabila benjolan kecil tulang tumbuh dalam tisu lembut biasanya otot.

Lama kelamaan ketulan tersebut semakin tumbuh - sehingga boleh mengakibatkan kecederaan - dan otot secara beransur-ansur digantikan oleh tulang, akhirnya menjadikannya keras dan mustahil untuk bergerak.

Kondisi ini sebenarnya tidak membahayakan nyawa. Malah di negara-negara maju pesakit yang mengalaminya boleh menjalani jangka hayat yang panjang.

Namun komplikasi boleh timbul apabila otot seperti di dada menjadi keras. Ini menyebabkan pesakit tidak dapat batuk dan jangkitan pernafasan biasa boleh bertukar serius.

Meskipun menghadapi pelbagai dugaan, Encik Mciki tetap positif dan tidak membiarkan FOP menghalangnya daripada mencapai kejayaan dalam hidup.

"Saya ingin menggalakkan mereka yang bertarung dengan FOP untuk terus belajar," katanya.

"Hanya kerana anda mempunyai FOP tidak bermakna anda tidak boleh bekerja atau mendapatkan pendidikan."

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita