Penutupan operasi pemerintah Amerika masuk minggu kedua; rundingan diteruskan
Lawatan di Bangunan Capitol sudah dihentikan.
Langit mendung menyelubungi bangunan Capitol Amerika Syarikat pada hari kelapan penutupan pemerintah, pada 8 Oktober 2025, di Washington. (Gambar: AP/John McDonnell)
WASHINGTON: Lawatan di Bangunan Capitol sudah dihentikan. Dewan-dewan juga sudah menutup pintunya, sedang Senat sekali lagi menegaskan pada Rabu (8 Okt) bahawa operasi pemerintah Amerika Syarikat perlu disambung semula dengan segera.
Presiden Donald Trump mengancam akan memecat pekerja persekutuan secara beramai-ramai dan enggan membayar balik gaji yang tertunggak.
"Kongres, buat kerja terkutuk anda," kata Randy Erwin, Presiden Persekutuan Kebangsaan Pekerja Persekutuan, bersama para pemimpin kanan kesatuan sekerja berhampiran Bangunan Capitol.
Di sebalik kemelut itu, perbincangan diteruskan. Para penggubal undang-undang, Republican dan Democrat, sedang bermesyuarat secara tertutup, mencari jalan keluar dari kebuntuan, yang bergantung kepada perjanjian untuk mengekalkan subsidi jagaan kesihatan.
Para anggota tentera dijangka tidak akan mendapat gaji, dan penerbangan ditangguhkan di lapangan terbang seluruh negara, manakala program persekutuan terjejas akibat penutupan operasi pemerintah.
Strategi kepimpinan Republican untuk meyakinkan Democrat supaya segera menamatkan penutupan operasi pemerintah tanpa menyelesaikan isu jagaan kesihatan tidak berhasil.
Dua anggota Republican terkemuka, Marjorie Taylor Greene dari Georgia dan Senator Josh Hawley dari Missouri, mengatakan sesuatu mesti dilakukan untuk membantu rakyat Amerika menampung kadar insurans kesihatan yang bakal dinaikkan.
Speaker Dewan Perwakilan Mike Johnson dari Republican kelihatan begitu yakin sehinggakan beliau bersedia menjawab soalan langsung daripada para pemanggil dalam rancangan hal ehwal awam C-SPAN pada pagi Khamis.
Sungguhpun demikian, para anggota Democrat enggan berganjak, yakin bahawa rakyat Amerika menyokong mereka dalam perjuangan untuk mencegah kenaikan kos jagaan kesihatan yang menjulang, sambil menyalahkan Encik Trump atas penutupan operasi pemerintah
SUBSIDI PENJAGAAN KESIHATAN AKAN TAMAT TEMPOH
Kongres meningkatkan subsidi persekutuan yang membantu orang ramai membeli polisi insurans swasta berdasarkan Akta Penjagaan Dimampui semasa wabak COVID-19. Bantuan persekutuan itu popular, dan ia meningkatkan pendaftaran bagi akta tersebut kepada paras rekod 24 juta penduduk. Subsidi yang dipertingkatkan itu dijangka akan berakhir pada hujung tahun ini.
Para anggota Republican berkata Kongres boleh menangani isu insurans kesihatan dalam masa beberapa bulan akan datang. Democrat sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah itu sekarang, kerana orang ramai sudah menerima notis kadar polisi yang lebih tinggi untuk tahun baharu.
Encik Trump telah memberi isyarat bahawa beliau terbuka kepada perjanjian jagaan kesihatan itu sejak beberapa hari kebelakangan ini. Awal minggu ini, Encik Trump berkata bahawa perbincangan sudah dijalankan kerana beliau mahukan "penjagaan kesihatan yang hebat" untuk rakyat Amerika, tetapi berubah fikiran beberapa jam kemudian untuk mengatakan bahawa operasi pemerintah mesti disambung semula terlebih dahulu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.