Penutup enjin pesawat AS tercabut, penumpang panik: Laporan
Penerbangan sebuah pesawat Frontier Airlines dari Las Vegas ke Florida terpaksa berpatah balik selepas sebahagian penutup enjinnya tercabut semasa ia berlepas.
Gambar-gambar dari penumpang CJ Gunnerson (kiri) dan seorang lagi pengguna Twitter menunjukkan kowling pesawat CJ Gunnerson yang rosak.
LAS VEGAS: Penerbangan sebuah pesawat Frontier Airlines dari Las Vegas ke Florida terpaksa berpatah balik selepas sebahagian penutup enjinnya tercabut semasa ia berlepas.
Penumpang CJ Gunnerson mengirimkan satu gambar yang menunjukkan kerosakan itu kepada temannya Brandon Rittiman, seorang wartawan dengan agensi berita Amerika, ABC10.
Memuat naik gambar itu ke laman Twitter, Rittiman berkata pesawat itu yang membawa 177 penumpang perlu melakukan pendaratan cemas di Las Vegas selepas "penutup enjin tercabut semasa pesawat berlepas".
Gambar itu menunjukkan sebahagian penutup besi berwarna hijau tercabut daripada badan pesawat Airbus A320, yang mendedahkan enjinnya.
Menerangkan insiden itu kepada agensi berita tempatan WTSP, Encik Gunnerson berkata keadaan "seperti huru-hara dalam pesawat" dan para penumpang "melompat dan menjerit serta dan menghentak bumbung pesawat".
Seorang lagi penumpang, Stella Ponce, memberitahu agensi berita itu bahawa beliau mengirimkan mesej kepada anaknya untuk mengatakan beliau menyayanginya.
Cik Ponce berkata, beliau sedang tidur dan hanya terjaga selepas mendengar "banyak jeritan". Beliau menambah, ramai penumpang menjerit supaya juruterbang tidak meneruskan penerbangan dan dua wanita menangis sedang para penumpang lain menunjuk ke arah tingkap.
Menurut laman menjejaki penerbangan FlightAware, pesawat berkenaan berlepas menuju Tampa pada 7.12 pagi waktu tempatan dan kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa McCaran di Las Vegas pada 7.27 pagi waktu tempatan.
Satu laporan oleh USA Today menukil seorang jurucakap penerbangan sebagai berkata bahawa satu bahagian penutup enjin menjadi longgar dan tercabut daripada badan pesawat.
Jurucakap itu menambah, kesemua penumpang dipulangkan wang mereka dan satu baucar bernilai AS$500 (S$680) yang boleh digunakan untuk penerbangan dengan Frontier Airlines di masa depan. Syarikat penerbangan itu turut mengaturkan semula penerbangan bagi semua penumpang supaya mereka dapat ke Florida secepat mungkin.
Kesemua 171 penumpang dan anak kapal dilaporkan selamat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.