Penunjuk perasaan Thailand berkumpul buat hari ke-5 tanpa endah larangan COVID-19
Para penunjuk perasaan antikerajaan di Thailand terus mengadakan bantahan besar-besaran tanpa menghiraukan perintah darurat yang dikuatkuasakan di negara itu.
BANGKOK: Para penunjuk perasaan antikerajaan di Thailand terus mengadakan bantahan besar-besaran tanpa menghiraukan perintah darurat yang dikuatkuasakan di negara itu.
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di kawasan Tugu Kemenangan di Bangkok hari ini (18 Okt), menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha.
Penganjur bantahan pada pagi Ahad menggesar agar para penunjuk perasaan bersiap sedia di mana-mana stesen kereta api BTS yang berdekatan dengan rumah mereka pada pukul 3.00 petang waktu tempatan tetapi tidak mendedahkan butiran lebih lanjut mengenai tempat berkumpul bagi mengelakkan sekatan oleh pihak berkuasa.
Pihak berkuasa menutup beberapa stesen kereta api di Bangkok bagi mencegah perhimpunan beramai-ramai aktivis prodemokrasi itu.
Bagaimanapun, tunjuk perasaan tetap diteruskan buat hari kelima berturut-turut untuk mendesak kerajaan agar meminda perlembagaan dan merombak sistem beraja di negara itu.
Dengan ramai pemimpin utama sudahpun ditahan, para penunjuk perasaan pada Sabtu bergilir-gilir menyampaikan ucapan pendek.
Selain Bangkok, lebih banyak perhimpunan juga diadakan di wilayah-wilayah lain.
Sejak beberapa hari lalu, polis sudah menyuraikan para penunjuk perasaan sebanyak dua kali. Pertama pada Khamis dan kemudian sehari kemudian di persimpangan Pathumwan di kawasan perniagaan Bangkok.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.