Skip to main content

Dunia

Penunjuk perasaan, pasukan keselamatan Iraq bertempur di Baghdad

Pasukan keselamatan Iraq bertempur dengan para penunjuk perasaan antipemerintah dekat Dataran Tahrir di Baghdad pada Sabtu (2 Nov) sedang jumlah korban meningkat akibat tunjuk perasaan yang berlarutan lebih sebulan itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Penunjuk perasaan, pasukan keselamatan Iraq bertempur di Baghdad

Tunjuk perasaan di Iraq yang bermula 1 Okt 2019 berlarutan lebih sebulan (Gambar: AFP/Sabah Arar)

Diterbitkan : 03 Nov 2019 07:15PM Dikemas Kini : 03 Nov 2019 07:21PM

BAGHDAD: Pasukan keselamatan Iraq bertempur dengan para penunjuk perasaan antipemerintah dekat Dataran Tahrir di Baghdad pada Sabtu (2 Nov) sedang jumlah korban meningkat akibat tunjuk perasaan yang berlarutan lebih sebulan itu.

Keganasan di Baghdad tertumpu di dua jambatan yang menghubungkan Tahrir dengan Zon Hijau di tebing barat Sungai Tigris yang menempatkan kebanyakan bangunan pemerintah dan kedutaan asing.

Polis antirusuhan yang dikerahkan di sepanjang jambatan pada Sabtu melepaskan gas pemedih mata untuk menghalang para penunjuk perasaan yang mengukuhkan kedudukan di belakang benteng mereka sendiri.

Seorang penunjuk perasaan terbunuh semalaman, dan seorang lagi meninggal dunia pada Sabtu, kata sumber perubatan kepada AFP.

Berpuluh-puluh lagi cedera dalam pertempuran itu.

Bantahan pada 1 Oktober bermula bagi meluahkan kemarahan terhadap rasuah dan pengangguran namun kemudian bertukar menjadi kecaman meluas terhadap para ahli politik dan agama Iraq.

TUNJUK PERASAAN TURUT DISERTAI GOLONGAN KEPERLUAN KHAS

Gerakan anti-pemerintah semakin besar dengan penyertaan para pelajar, kesatuan sekerja dan badan-badan bukan pemerintah (NGO).

Pada Sabtu, sekitar 200 warga Iraq berkeperluan khas menganjurkan perarakan kecil di Baghdad untuk menunjukkan sokongan.

"Hak kami telah diabaikan selama bertahun-tahun akibat rasuah," kata Encik Muadh al-Kaabi, 30, seorang guru buta yang bekerja di sekolah pendidikan khas.

"Terdapat empat juta orang berkeperluan khas merata Iraq - dan bilangannya hanya bertambah akibat peperangan yang kami lalui," katanya kepada AFP.

Iraq melalui konflik selama berdekad lamanya, termasuk perang dengan Iran, pencerobohan dipimpin Amerika Syarikat pada 2003 yang menggulingkan Saddam Hussein dan perang saudara selama bertahun-tahun.

Sepanjang bulan lalu, lebih 250 orang terbunuh dan ribuan lagi cedera dalam tunjuk perasaan yang diadakan.

Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International mengecam pasukan keselamatan Iraq minggu ini kerana menggunakan dua jenis kanister gas pemedih mata gred tentera yang telah menembusi tempurung kepala dan paru-paru penunjuk perasaan.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita