Penunjuk perasaan Mexico serbu bangunan pemerintah beberapa hari sebelum Piala Dunia FIFA 2026
Para penunjuk perasaan di Mexico pada Rabu (3 Jun) menyerbu sebuah bangunan pemerintah hanya beberapa hari sebelum perlawanan pembukaan Piala Dunia FIFA 2026, sedang Presiden Claudia Sheinbaum menegaskan bahawa beliau tidak akan "terperangkap" dengan tindakan menindas bantahan tersebut.
Para penunjuk perasaan menceroboh masuk ke Kementerian Pendidikan semasa satu tunjuk perasaan di Mexico City pada 3 Jun 2026. (Gambar: AFP/Haaron Alvarez)
Satu kumpulan yang berpecah daripada kesatuan guru National Coordination of Education Workers (CNTE) mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran menjelang kejohanan bola sepak terbesar dunia itu, yang akan bermula pada 11 Jun di Stadium Azteca, Mexico City.
Pada Rabu, para penunjuk perasaan menggunakan tiang lampu jalan sebagai alat untuk merempuh pintu masuk ibu pejabat Kementerian Pendidikan di ibu negara tersebut.
Sumber daripada kementerian yang menjadi sasaran itu berkata para penunjuk perasaan merosakkan pondok pengawal dan memecahkan tingkap, manakala rakaman yang disiarkan televisyen Mexico menunjukkan kebakaran kecil berlaku di lokasi berkenaan.
Cik Sheinbaum berkata lebih awal pada Rabu bahawa beliau tidak akan "terperangkap" dengan mengambil tindakan keras terhadap para penunjuk perasaan beberapa hari sebelum kejohanan itu bermula. Piala Dunia FIFA 2026 dianjurkan secara bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
"Mereka mahu kami menggunakan tindakan yang menindas menjelang Piala Dunia," kata beliau dalam sidang media hariannya sambil berikrar untuk tidak akan berbuat demikian.
Pada Selasa, guru-guru yang mengadakan tunjuk perasaan menumbangkan patung-patung gergasi pemain bola sepak yang terletak di laluan utama ibu negara itu dan mengancam untuk mengadakan tunjuk perasaan semasa Piala Dunia FIFA jika pemerintah tidak memenuhi tuntutan mereka berkaitan isu pekerjaan.
Pada Isnin, pihak polis melepaskan gas pemedih mata ke arah sekumpulan guru bagi menghalang mereka daripada memasuki dataran Zocalo di pusat bandar, tempat di mana Fan Fest bagi Piala Dunia FIFA 2026 sedang dibina.
Namun pada Selasa, pihak berkuasa tidak campur tangan apabila para penunjuk perasaan tersebut menumbangkan patung setinggi lima meter itu.
Cik Sheinbaum menggesa agar dialog diadakan dengan para penunjuk perasaan, yang menuntut kenaikan gaji serta pemansuhan undang-undang pencen.
Pentadbirannya sudah bersetuju dengan CNTE untuk memberikan kenaikan gaji sebanyak sembilan peratus - jauh lebih rendah daripada tuntutan kenaikan 100 peratus yang dikemukakan kumpulan guru tersebut.
Gaji kasar permulaan bulanan bagi seorang guru sekolah awam di Mexico adalah bersamaan dengan AS$967 (S$1,240.32).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.