Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Penunjuk perasaan mengganas, Presiden Sri Lanka larikan diri: sumber pertahanan

Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dari kediaman rasminya di ibu kota pada Sabtu (9 Jul), menurut sumber pertahanan kepada AFP.

Anggaran Waktu Membaca:
Penunjuk perasaan mengganas, Presiden Sri Lanka larikan diri: sumber pertahanan

Polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan para pelajar yang mengajurkan tunjuk perasaan di Colombo, Sri Lanka, pada 8 Julai 2022. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 09 Jul 2022 05:20PM Dikemas Kini : 09 Jul 2022 05:21PM

COLOMBO: Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa melarikan diri dari kediaman rasminya di ibu kota pada Sabtu (9 Jul), menurut sumber pertahanan kepada AFP. 

Sebelum itu rakaman televisyen menunjukkan penunjuk perasaan menyerbu pekarangan kediaman tersebut, mendesak Encik Rajapaksa agar meletak jawatan.

"Presiden diiring ke tempat selamat," kata sumber itu, sambil menambah bahawa tentera melepaskan tembakan ke udara untuk menghalang orang ramai daripada menceroboh Istana Presiden.

Terdahulu, Reuters melaporkan  beribu-ribu penunjuk perasaan merempuh penghadang polis dan menyerbu kediaman rasmi presiden. Ia merupakan antara perhimpunan antipemerintah terbesar pernah diadakan di negara yang dilanda krisis itu, tahun ini. 

Rakaman video daripada saluran berita televisyen tempatan, NewsFirst, menunjukkan beberapa penunjuk perasaan yang memegang bendera Sri Lanka dan topi keledar memecah masuk ke dalam kediaman presiden.

Negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu bergelut dengan kekurangan teruk pertukaran asing yang menghadkan import barang keperluan penting seperti bahan api, makanan dan ubat-ubatan, hingga menjerumuskan negara itu ke dalam kegawatan kewangan terburuk dalam tempoh tujuh dekad.

Ramai rakyat menyalahkan Presiden Gotabaya Rajapaksa atas kejatuhan negara itu. Bantahan besar-besaran secara aman sejak Mac lalu mendesak supaya Encik Rajapaksa meletakkan jawatannya.

Penunjuk perasaan memenuhi bas, kereta api dan trak dari beberapa bahagian Sri Lanka untuk memasuki Colombo bagi menyatakan  kemarahan mereka terhadap kegagalan pemerintah menjaga kebajikan daripada kesan ekonomi.

Rasa tidak puas hati semakin membuak-buak sejak beberapa minggu kebelakangan ini apabila negara yang kesempitan wang itu berhenti menerima penghantaran bahan api, lantas memaksa penutupan sekolah dan petrol serta diesel dicatur untuk perkhidmatan penting. 

Ketidakstabilan politik boleh menjejaskan rundingan Sri Lanka dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapatkan bantuan kewangan berjumlah AS$3 bilion (S$4.1 bilion), penyusunan semula beberapa hutang asing serta pengumpulan dana bagi meredakan tekanan kewangan. 
 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan